Lebih 50,000 pengunjung membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sepanjang berlangsungnya Kelate Charity Festival (KCF) 2025 pada 17 hingga 20 September lalu.
Festival anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group itu bukan sahaja berjaya menghiburkan orang ramai, malah menjadi wadah penting untuk membantu golongan asnaf, menjana pendapatan usahawan serta mengangkat seni budaya tempatan.
Mengangkat slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’, Pengarah Eksekutif KCF, Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin menzahirkan rasa syukur atas sambutan yang luar biasa terhadap festival sulung ini.

“Sambutan yang amat hebat sepanjang festival berlangsung. Alhamdulillah, walaupun ini KCF ini kali pertama dianjurkan, sasaran 50,000 ribu malah lebih pengunjung berjaya dicapai.
“Rata-ratanya berpuas hati, enjoy dan tak dapat melupakan banyak kenangan manis apabila datang ke KCF Fest.

“Bukan sahaja para pengunjung yang rata-ratanya berpuas hati dengan festival ini, malah para tetamu kenamaan atau VIP juga memuji kejayaan KCF ini.
“Selain itu, para peniaga yang menyertai KCF ini semuanya berpuas hati dan mahu menyertai kami lagi pada tahun depan. Alhamdulillah, mereka nampak impak KCF ini yang boleh membantu mereka menjana pendapatan dan memperkenalkan lagi produk yang dibawa,” katanya ketika ditemui media pada hari ketiga festival. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan HMS Maju Group, Haffiz Mat Sulaiman, penyanyi Ameng Spring dan pelakon Cik Man.
Kamal turut berkongsi keterujaannya apabila minat besar ditunjukkan oleh pihak penaja.
“Sebenarnya, semasa acara berlangsung, masih ada empat penaja yang mahu menyertai KCF, tapi keadaan tidak mengizinkan kerana tawaran penajaan sudah penuh.
“Terima kasih dari lubuk hati kami dan sangat menghargai pihak yang menyatakan minat mereka. Kalau ada rezeki, kami berharap mereka sudi bekerjasama dengan menaja KCF pada tahun depan,” ujarnya.


Sebagai pengasas Madoo Bee, beliau juga gembira apabila hasrat murni untuk membantu golongan asnaf berjaya direalisasikan. Seramai 500 asnaf diraikan melalui sumbangan tunai daripada Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila KCF berjaya mencapai matlamatnya untuk meringankan golongan asnaf.
“Saya harap tahun depan lebih banyak bank atau mana-mana agensi tampil untuk membantu golongan asnaf. Untuk tahun depan, kami bercadang mahu membantu lebih ramai, mungkin dalam 1500 orang.
“Seperti mana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat di mana kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan gerai jualan dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026.
“Menerusi KCF 2025 ini, masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” tambahnya.
Sementara itu, penyanyi popular Ameng Spring menyifatkan festival berkenaan sebagai antara penganjuran terbaik di Kelantan.
“Bagi saya KCF ini adalah satu festival yang sangat besar dan mempunyai banyak elemen.

“Bagi saya, mana-mana acara atau festival perlu ada artis. Kalau tak ada artis, acara jadi tak hidup. Jadi penganjur perlu cari artis yang sesuai untuk festival.
“Misalnya KCF ini membawa ramai artis popular dan hebat. Sudah tentu, ia memberi impak positif kepada para pengunjung.
“Saya tengok KCF 2025 ini paling ‘dahsyat’ setakat ini di Kelantan. Bukan sahaja dari segi persembahan artis untuk sesi petang dan malam, malah setiap apa yang ditampilkan, semuanya boleh dipuji dan bagi saya sangat berjaya,” katanya yang mempersembahkan lagu Romantis, Bougainvilla, Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati, Sejiwa dan Sejujur Mana Kata-Kata.
Selain Ameng, barisan selebriti lain turut menjayakan festival ini termasuk Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid dan Bob Sentuhan.
Lebih meriah, seramai 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut menghiburkan pengunjung, di samping 1,111 peserta selawat melalui program Selawat Perdana dalam segmen Malam Kerohanian. Turut disertakan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah Ustazah Asma’ Husin dan artis jemputan Angeline Tan.
Kemeriahan KCF 2025 turut diserikan dengan acara Kelate Charity Walk yang mendapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang turun padang bersama rakyat.
Selain itu, pengunjung juga disajikan dengan pelbagai aktiviti keluarga termasuk persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, pertandingan catur dan perlumbaan push bike untuk kanak-kanak, di samping lebih 100 gerai jualan yang memeriahkan lagi suasana.




