syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Amir Ahnaf gagal menahan sebak apabila masih menerima sokongan daripada peminat biarpun mengakui pernah hilang keyakinan diri susulan pelbagai kontroversi yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini.
Amir atau nama sebenarnya Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, berkata sambutan hangat penonton pada tayangan filem Baga: Esok Untuk Siapa membuatkan dia kembali bersemangat selepas menyangka perjalanan seninya sudah berakhir.
“Saya hilang rasa kepercayaan terhadap diri sendiri. Tapi selepas melihat, mendengar dan merasai apa yang kalian rasa, saya bersyukur kerana kalian lebih menghargai perasaan manusia.
“Saya jujur dalam setiap apa yang saya buat, apatah lagi naskhah yang saya bawa. Bukan saya seorang, tetapi bersama barisan pelakon dan tenaga produksi lain yang semuanya datang dengan hati yang jujur.
“Saya percaya apa yang kita buat dalam hidup tak kisah apa benda pun, kalau jujur, semua orang akan rasa,” katanya.
Amir berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala filem arahan Ariff Zulkarnain, di sini, semalam.
Menurutnya, kehadiran peminat pada malam tayangan itu menjadi satu penghargaan luar biasa memandangkan dia menyangka dirinya sudah tidak lagi diterima dalam industri seni tanah air.
“Saya tak percaya yang kalian semua berada di sini sebenarnya. Sebab saya ingat saya sudah ‘pupus’ dalam industri ini, saya ingat saya sudah tiada lagi.
“Niat saya berada dalam industri ini semata-mata mahu membantu keluarga dan industri kita, selain mengangkat bakat-bakat yang sebelum ini tidak diberikan perhatian untuk berkongsi rasa,” katanya.
Mengulas mengenai pembabitannya dalam karya terbaharu itu, Amir menegaskan matlamat utamanya mahu memartabatkan industri perfileman tempatan, selain berharap ia menjadi medium penyatuan buat penonton.
“Saya angkat cerita ini bukan sebab saya seorang, saya angkat kita semua. Kita buat semua ini untuk industri seni Malaysia. Terima kasih sebab percaya dan hargai,” katanya.
Sebelum ini, nama pelakon berkenaan hangat diperkatakan di media sosial susulan penularan tangkap layar memaparkan komen ‘jump jacks now’ yang ditinggalkannya pada hantaran foto seorang wanita berpakaian seksi.
Menerusi filem bergenre jenayah arahan Ariff Zulkarnain itu, Amir digandingkan bersama Amirah Razak sebagai teraju utama yang mengisahkan pasangan kekasih, Jani dan Melur yang bergelut mengubah nasib hidup mereka.
Karya terbitan Indigo Films yang menjalani penggambaran di Terengganu itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




