Lembaga Peperiksaan nafi dakwaan kebocoran soalan UBBI SPM 2026

Lembaga Peperiksaan nafi dakwaan kebocoran soalan UBBI SPM 2026

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Peperiksaan (LP) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2026 seperti yang tular di media sosial.

LP dalam kenyataan berkata, hasil penelitian mendapati maklumat yang disebarkan adalah senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Katanya, persamaan tema atau kata kunci dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak membuktikan berlakunya kebocoran soalan kerana sesuatu tema boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk soalan, situasi dan tugasan.

“LP menegaskan bahawa penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Sehubungan itu, LP mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.

Katanya, calon SPM 2026 juga dinasihatkan supaya kekal tenang dan memberikan tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.

“LP kekal komited untuk memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti peperiksaan SPM 2026 sentiasa terpelihara demi menjamin keadilan kepada semua calon,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top