MANCHESTER: Amir Khan berkata dia sedia untuk bersara daripada arena tinju selepas tewas di tangan seterunya Kell Brook di AO Arena, Manchester.
Khan dibelasah teruk di pusingan pertama dan tidak mampu bangkit pada pusingan seterusnya sebelum pertarungan dihentikan pada pusingan keenam untuk kemenangan Brook.
Kedua-dua peninju itu berpelukan selepas tamat pertarungan, sekali gus menamatkan perseteruan 17 tahun antara mereka dengan Brook berkata: “Kan saya dah kata!”.
“Saya amat kecewa. Saya gagal menemui rentak. Jelas sekali dia lebih baik hari ini. Saya cuba mengejar dengan melepaskan beberapa tumbukan yang bagus kepada Brook, tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa.
“Saya mengharungi kem latihan yang hebat tetapi tidak mencukupi. Prestasi saya merosot dan kerap terlepas tumbukan. Kell menampilkan pertarungan kelas A hari ini.
“Saya perlu berbincang dengan keluarga tetapi ia lebih kepada mengakhiri karier saya. Cinta terhadap sukan ini sudah pudar. Ia isyarat buat saya untuk bersara,” kata Khan. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




