Pendakian Gunung Jerai pentas awal hangatkan perebutan jersi LTdL 2026 – Emir

Pendakian Gunung Jerai pentas awal hangatkan perebutan jersi LTdL 2026 – Emir

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendakian sulung ke puncak Gunung Jerai dijangka menjadi pentas awal menghangatkan perebutan jersi pendahulu dan Raja Bukit pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Lebih menarik, laluan baharu berstatus Kategori 1 itu akan muncul seawal Peringkat 2 sebelum pelumba berdepan dua lagi pendakian berstatus Hors secara berturut-turut di Cameron Highlands (Peringkat 4) dan Genting Highlands (Peringkat 5), sekali gus menjanjikan persaingan paling sengit dalam sejarah perlumbaan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pihak penganjur sengaja memperkenalkan Gunung Jerai bagi meningkatkan tahap persaingan selepas laluan pendakian pada edisi lalu dianggap kurang mencabar.

“Laluan Peringkat 2 sejauh 145.6km (kilometer) dari Taiping ke Gunung Jerai bermula selepas pelumba melepasi zon pecutan terakhir di Gurun.

“Walaupun baki jarak ke garisan penamat tidak terlalu jauh, kecuraman laluan menuju puncak Gunung Jerai dijangka memecahkan kelompok pelumba dan menguji ketahanan mereka,” katanya.

Pendakian ke Gunung Jerai yang berketinggian 971 meter dari aras laut menawarkan 15 mata Raja Bukit, sekali gus memberi peluang kepada pendaki tulen untuk menghantar amaran awal dalam perebutan jersi Raja Bukit dan kedudukan keseluruhan.

Namun, Emir percaya penentuan sebenar hanya akan berlaku di Cameron Highlands dan Genting Highlands yang masing-masing menawarkan 25 mata Raja Bukit menerusi pendakian berstatus Hors.

“Berbeza dengan tahun lalu, edisi kali ini mempunyai tiga penamat di puncak termasuk Gunung Jerai yang pertama kali diperkenalkan.

“Sebab itu sukar untuk kita meramalkan siapa bakal muncul juara keseluruhan kerana kedudukan dijangka berubah selepas Peringkat 2, 4 dan 5,” katanya.

Sepanjang perlumbaan sejauh 1,258.5km itu, pelumba akan menempuh dua pendakian Hors, satu Kategori 1, satu Kategori 2, empat Kategori 3 dan satu Kategori 4.

Menurut Emir, penamat di puncak itu dijangka mempengaruhi strategi setiap pasukan dalam memilih enam pelumba terbaik dengan kebanyakan pasukan dijangka mempertaruhkan sekurang-kurangnya tiga pendaki bagi menguasai laluan berbukit.

“Saya yakin semua pasukan profesional akan mengkaji profil laluan lebih awal terutama Gunung Jerai yang pertama kali digunakan dalam LTdL.

“Mereka pasti menyusun strategi terbaik bagi memburu jersi pendahulu, Raja Bukit dan kejuaraan berpasukan,” katanya.

Sebagai rekod, pendakian di Cameron Highlands membantu pelumba Britain, Max Poole muncul juara keseluruhan LTdL 2024, manakala Simon Carr menawan Genting Highlands sebelum merangkul gelaran keseluruhan pada edisi 2023.

LTdL26 yang berstatus UCI ProSeries akan bermula di Shah Alam pada 27 September sebelum menutup tirai di Putrajaya pada 4 Oktober nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top