SHAH ALAM – Diplomasi diraja antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa, mencipta detik bersejarah apabila berjaya membawa semula perlumbaan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kejayaan itu disifatkan sebagai hasil hubungan erat serta kepercayaan tinggi yang terjalin antara Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad, sekali gus membawa kepada penganjuran Grand Prix (GP) F1 Bahrain di Malaysia.
“Semenjak tahun 2017, Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad telah menjalin persahabatan peribadi yang baik dan ia terus berkembang kepada pengukuhan hubungan diplomasi antara Bahrain dan Malaysia, dengan Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada 2025.
“Susulan cabaran terhadap kalendar perlumbaan F1 akibat konflik bersenjata di Asia Barat, penganjuran F1 Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan berprestij itu dapat diteruskan,” menurut hantaran itu pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun apabila bakal menjadi tuan rumah GP F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Hantaran itu turut memaklumkan bahawa dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Bahrain mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon bersama Yang di-Pertuan Agong dalam suasana penuh mesra dan semangat persahabatan.
Perbincangan itu akhirnya menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia, kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Federation Internationale de l’Automobile (FIA).
“Hasil persefahaman itu, persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sekali gus mengembalikan perlumbaan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017,” menurut hantaran itu.
Selain itu, pengumuman litar Sepang sebagai tuan rumah bagi F1 Grand Prix Bahrain, diterima baik terutama dalam kalangan peminat F1 di Malaysia dan serantau sekali gus mencipta lembaran sejarah tersendiri, yang mencerminkan hubungan diplomasi diraja yang cukup baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad.



