Amir Raja Lawak balik raya jual air jagung, seronok layan peminat di Kelantan

Amir Raja Lawak balik raya jual air jagung, seronok layan peminat di Kelantan

Amir Raja Lawak meluahkan rasa gembira apabila dapat pulang ke kampung halaman di Jalan Bayam bukan semata-mata untuk menyambut hari raya bahkan, dapat melayani peminat yang hadir menyokong perniagaan air jagungnya.

Menurut laporan Harian Metro, menjual air minuman yang diusahakan sejak tahun 2017  di hadapan Stadium Sultan Muhammad ke-IV adalah inisiatif bagi dirinya untuk meluangkan masa dengan para peminat.

Ujarnya, dia akan memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin untuk bertemu dengan peminatnya di Kota Bharu selepas sekian lama sudah tidak pulang kerana sudah berpindah ke Kajang, Selangor.

“Perniagaan air ini saya sudah mulakan sejak 2017 lagi dan sehingga kini saya masih cuba mengekalkannya walau ada kalanya ada kekangan masa dengan tawaran rancangan hiburan atau sitkom.
“Tahun ini saya berkesempatan untuk pulang beraya di Kelantan dan tidak salah untuk saya teruskan promosi produk saya ini dalam masa yang sama berjumpa dengan peminat yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Katanya lagi, dia akan membawa lebih 1,000 botol air jagung untuk dijual dalam but kereta namun, ia akan habis terjual kira-kira tiga jam memandangkan pelanggan hadir dengan hanya pandu lalu.

Dalam pada itu, pelawak yang berusia 34 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana dia masih mendapat tawaran kerja dalam bidang hiburan.

“Saya berlakon dalam sitkom 30 episod bertajuk Spoket Raya dan kini ia sedang ditayangkan di Awesome TV.
“Saya juga ditawarkan sebagai hos bersama Mamat Sepah untuk rancangan Super Spontan Mega dan akan menjalani penggambaran dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah rezeki masih ada dalam bidang hiburan dan saya teruskan selagi masih diperlukan..terima kasih kepada semua yang menyokong,” ujarnya lagi.

Sumber: Harian Metro (Siti Rohana Idris)