Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak tampil meluahkan rasa kecewa apabila masih belum menerima bayaran tertunggak sebanyak RM18,000 daripada individu bergelar Dato’ walaupun sudah lama menunggu dan mendesak.
Amir Raja Lawak dedah bayaran hutang belum diselesaikan
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Amir mendakwa sudah ada puluhan laporan polis dan surat peguam daripada individu lain terhadap pihak sama, namun tiada sebarang tindakan yang memberi hasil.
“Assalamualaikum. Hutang payment yang masih sangkut 18k, belum langsai lagi ye Dato’ Adam Dato’ Ilyas.
“Korang yang duk fikir kenapa tak buat report, kenapa tak ambik lawyer, meh saya ceritakan. Dah berpuluh report dari orang lain yang masih sangkut payment dengan dia, yang dah dibuat.
“Surat lawyer? Mengikut info yang saya terima, dah banyak surat lawyer yang dah dihantar pada dia sebenarnya,” tulisnya.
Amir Raja Lawak rasa seperti haknya dinafikan
Tambah Amir, dia kini berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan semula haknya demi menampung kos kehidupan termasuk susu anak, pampers, stoma bag dan ubat-ubatan.
“Saya tidak kuat, lagi-lagi untuk mendesak orang kaya menyelesaikan amanahnya kepada orang yang tidak kaya iaitu diri saya sendiri. Tapi kenapa saya jadi macam ni?
Sebab saya tengah memerlukan hak saya yang seolah seperti dinafikan,” ujarnya lagi.
Artikel lain: Amir Raja Lawak tunjuk bukti perbualan, terkilan Ustaz Tido ‘tunggang’ masalah dihadapi
Hanya mampu luahkan di media sosial
Amir berkata dia hanya mampu berkongsi situasi itu melalui media sosial sewaktu menunggu rawatan dan pemeriksaan kesihatan di hospital selesai.
“Saya tulis ni pun sementara tunggu setel appointment kat hospital hari ini, ada cuci usus dan scan apa yang patut.
Kat sini sahaja saya mampu luahkan dan bercerita,” jelasnya.
Perkongsian tersebut mengundang simpati netizen yang turut berharap agar perkara ini dapat diselesaikan segera dan Amir mendapat keadilan sewajarnya.
Sumber: Facebook Amir Raja Lawak