lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang hampir pasti bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sebagai tidak mengejutkan.
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin mendakwa, BN kini dalam dilema mahu dilihat kuat, tetapi masih bergantung kepada parti lain untuk mengelakkan pertembungan di kerusi Parlimen tertentu.
Menurutnya, pihaknya tidak melihat perkembangan itu sebagai ancaman, sebaliknya peluang untuk mengukuhkan lagi gerak kerja di peringkat akar umbi.
“AMK bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) kini giat memperkemas jentera pilihan raya merangkumi kesemua 222 kerusi Parlimen.
“Pelancaran Sistem Pengurusan Pilihan Raya TERAS oleh Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar, semalam menjadi bukti keseriusan parti dalam memastikan kempen lebih tersusun dan berkesan.
“Sistem ini memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat kecekapan pengurusan data serta pemantauan gerak kerja di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO dan BN hampir pasti bergerak solo menghadapi PRU16.
Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu berkata, parti berkenaan bagaimanapun tidak boleh bertanding semua 222 kerusi Parlimen.
Beliau dipetik berkata, BN mengambil kira persefahaman dengan parti lain di luar BN untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru.
Mengulas lanjut, Danish berkata, kekuatan PH ketika ini bukan sekadar retorik, sebaliknya berdasarkan prestasi pentadbiran di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Rakyat dapat menilai sendiri pencapaian dari segi pelaburan, integriti dan dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.
“Ini berbeza dengan naratif lama yang sering dimainkan pihak tertentu yang mendakwa isu Melayu dan Islam terancam, sedangkan perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan terus dipelihara dalam Kerajaan MADANI,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



