AMK gesa siasat dakwaan syarikat tempatan terima dana asing

AMK gesa siasat dakwaan syarikat tempatan terima dana asing

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan sebuah syarikat tempatan dan beberapa individu menerima dana asing untuk menjalankan aktiviti politik yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim memetik laporan mendakwa wujud transaksi kewangan membabitkan The Tides Foundation yang berpangkalan di Amerika Syarikat kepada sebuah syarikat tempatan iaitu MANDIRI Development Centre Sdn Bhd (MANDIRI) melalui beberapa transaksi berjumlah lebih RM1.5 juta.

Beliau turut merujuk dakwaan yayasan itu membuat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 kepada pengarah eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit dan beberapa individu dikaitkan dengan NGO berkenaan sepanjang 2024 hingga 2025.

“Antaranya, transaksi pada 27 November 2024 berjumlah RM233,322.20, diikuti 12 Mac 2025 sebanyak RM658,555 serta 6 Jun 2025 berjumlah RM628,270.

“Maklumat tersebut juga mendakwa bahawa sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM686,729.00 telah dibuat kepada Amir Hariri Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dana itu turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan seterusnya menggugat kestabilan politik negara.

“Sekiranya dakwaan itu benar, ia merupakan perkembangan yang amat membimbangkan kerana Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing yang mencatur landskap politik melalui proksi tempatan.

“Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bukan lagi boleh dianggap sekadar polemik politik biasa kerana ia menyentuh soal keselamatan, kedaulatan politik serta kestabilan institusi demokrasi negara.

Muhammad Kamil turut menegaskan bahawa alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti berkaitan penggunaan atau penyelewengan dana asing bagi tujuan politik yang mengancam keselamatan negara.

“Justeru, AMK mendesak PDRM, SPRM, Bank Negara Malaysia serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan terperinci, bebas dan menyeluruh terhadap semua pihak yang dikaitkan, tanpa mengira latar belakang politik atau kedudukan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) serta Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terbukti wujud unsur jenayah.

“Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar. Dalam keadaan ini, negara memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh.

“Sebarang usaha menggugat kestabilan negara melalui pembiayaan asing dan manipulasi politik secara tersusun mesti dihentikan segera sebelum menjadi ancaman lebih besar kepada masa depan negara,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat perlu diberikan penjelasan tuntas, manakala tindakan penguatkuasaan tegas perlu diambil segera bagi membuktikan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dipersendakan oleh mana-mana pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top