Ammar Syafiq korban masa urus ibu

KULAI – ”Bukan mahu memuji anak sendiri tetapi Ammar Syafiq memang bersungguh-sungguh menjaga saya termasuk sanggup membersihkan najis tanpa rasa mual,” kata Siti Fathilah Fathah, 39, di Bandar Putra Kulai,Johor.

Bekas guru sandaran yang menderita cakara tulang velakang teranjak atau tergelincir (slip disc) dan masalah tulang rapuh sejak enam tahun lalu berkata, dia juga sentiasa menunggu kepulangan anak tunggalnya pulang dari sekolah untuk membantu menguruskan dirinya.

Siti Fathilah berkata, Ammar Shafiq berusia lapan tahun itu pada mulanya hanya memerhati rutin suaminya, Azmi Hashim, 45, menguruskan dirinya.

Namun lama kelamaan anaknya juga terbiasa menguruskan beliau, bukan sahaja makan dan minum tetapi turut membersihkan najis tanpa rasa jijik.

 

“Sekarang ini Amar cuti, akak mudah sikit bila abang keluar bekerja dia ada.

“Dia yang cuci berak, dia sendiri ambil glove letak Detol dekat akak, semua dia buat sendiri, saya cukup sedih sebab dia pula terpaksa uruskan akak,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Kulai, dekat sini.

Lebih menghibakan hati seorang ibu apabila Ammar terpaksa mengorbankan masa kanak-kanaknya apabila dia lebih sibuk menguruskannya di rumah.

Siti Fathilah disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak Julai tahun lalu, selain mengalami kerapuhan tulang belakang menyamai warga emas berusia 60 tahun.

“Saya mendapatkan rawatan di hospital di Kulai, di Hospital Sultanah Aminah (HSA), juga  menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital swasta.

“Malangnya penyakit saya sukar dirawat dan tidak sesuai menjalani pembedahan kerana berisiko menjadi lumpuh.

“Buat masa kini saya hanya bergantung kepada ubat serta vitamin dibekalkan HSA dan kebiasaannya temujanji berjumpa doktor setiap tiga bulan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia hilang keupayaan untuk bergerak sejak Disember lalu hingga memerlukan penjagaan ahli keluarga sepanjang masa.

Namun, dia bersyukur kerana suami yang bekerja sebagai jurukimpal dan anaknya, murid Tahun 2 bergilir-gilir menjaganya.

“Ammar Syafiq bukan saja memberikan ubat malah menyuap saya makan. Dia cuba melakukan yang terbaik terutama ketika membersihkan najis menggunakan tisu basah supaya keadaan saya bersih.

“Dia juga membasuh baju kami dan sanggup berdikari termasuk mengurus dirinya ketika ke sekolah,” katanya yang mengalami masalah cirit birit setiap kali selepas makan hingga terpaksa berpuasa ketika anak dan suaminya keluar rumah.

Siti Fathilah berkata, Ammar Syafiq juga kerap memberi sokongan kepadanya supaya bersabar dan kuat semangat melawan penyakit.

“Dia banyak mencontohi bapanya termasuk memberi saya kekuatan ketika saya tertekan dan sedih memikirkan masa depan keluarga.

“Sebagai ibu saya hanya mampu berdoa supaya Ammar Syafiq menjadi anak yang soleh,” katanya.

Selain itu, kata Fathilah, anak emasnya itu kerap mendoakan supaya dirinya boleh berjalan seperti sedia kala memandangkan si kecil ini amat merindui masakan seorang ibu.

“Sejak sakit akak memang tak masak. Semua abang beli, jadi Ammar makan apa yang akak makan.

“Dia selalu doakan akak supaya dapat jalan.Sebab dia kata nanti boleh masakkan dia kari ayam,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga Siti Fathilah boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 101012967178. – MalaysiaGazette