London: Pertahanan Manchester United, Luke Shaw menyokong pendekatan tegas pengurus Ruben Amorim dalam usaha memperbaiki standard dalam bilik persalinan, sambil mendedahkan suasana sebelum ini “agak toksik”.
Amorim mengambil alih United yang bergelut sejak November lalu dan terus menuntut komitmen lebih tinggi daripada skuad.
Beliau juga menggugurkan beberapa tonggak utama seperti Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho, yang termasuk dalam kalangan lima pemain yang mahu meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim panas.
“Banyak kali saya berada di sini sejak beberapa tahun lalu, suasananya sangat negatif.
“Ia boleh jadi cukup toksik, persekitaran sebegitu langsung tidak sihat… kita perlukan suasana yang sihat, positif, penuh tenaga dan kegembiraan. Bila semua itu ada, kita rasa lebih bebas dan mampu mengekspresikan diri.”
“Ruben menuntut disiplin. Mentaliti sangat penting baginya. Dia kerap bercakap tentang perkara itu… dia mahu 100 peratus dan tidak akan terima kurang daripada itu. Jika seseorang hanya beri 85 atau 90 peratus, itu tidak cukup. Saya rasa terutamanya tahun ini, kalau anda tak buat perkara yang betul, anda tidak akan bermain,” kata Shaw, yang menyertai United sejak 2014, dalam wawancara yang disiarkan pada Rabu.
Amorim sebelum ini menunjukkan ketegasannya apabila mempertikaikan etika kerja Rashford, malah menyatakan beliau lebih rela memilih jurulatih penjaga gol daripada menurunkan pemain yang sambil lewa.
Rashford kini dipinjamkan ke Barcelona, manakala media Britain melaporkan Garnacho dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea atau Aston Villa.
“Pengurus tak kisah siapa pemain itu. Itu yang sepatutnya. Apa sahaja yang dia mahukan, sebagai pemain kami kena tunaikan, dan kami sokong sepenuhnya,” tambah Shaw.
United yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-15 dan tewas dalam final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur, akan membuka kempen baharu menentang Arsenal di laman sendiri pada 17 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




