Glasgow: Kriket, memanah dan menembak antara sukan yang berpotensi kembali dipertandingkan pada Sukan Komanwel 2030 di Ahmedabad, India.
Perbincangan mengenai senarai sukan masih berlangsung antara Commonwealth Sport, badan induk sukan berkaitan dan jawatankuasa penganjur India menjelang temasya yang akan berlangsung di Gujarat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Commonwealth Sport, Katie Sadlier, enggan mengulas lanjut mengenai proses pemilihan, namun Ketua Eksekutif Persatuan Olimpik India (IOA), Raghu Iyer memberi bayangan beberapa sukan yang digugurkan di Glasgow berpeluang disenaraikan semula.
“Terdapat banyak sukan yang merasakan mereka terlepas peluang.
“Ada sukan yang India menunjukkan prestasi cemerlang seperti menembak, memanah dan beberapa lagi,” katanya.
Apabila ditanya sama ada kriket, memanah dan menembak berada di kedudukan teratas untuk kembali dipertandingkan, Iyer hanya tersenyum sambil berkata pilihan itu sangat menarik.
“Kami juga mahu mempertandingkan sukan yang secara tradisinya memberikan kejayaan kepada India,” katanya.
Kriket dilihat mempunyai kelebihan apabila sekurang-kurangnya dua sukan berpasukan akan ditambah pada edisi 2030.
Selain kriket, hoki dan ragbi tujuh sebelah turut berada dalam senarai pertimbangan.
Turut dipertimbangkan ialah badminton, bola keranjang 3×3, bola keranjang berkerusi roda 3×3, bola tampar pantai, berbasikal, terjun, judo, gimnastik berirama, skuasy, triatlon, para triatlon dan gusti.
Sebagai tuan rumah, India turut diberi hak mencadangkan dua sukan baharu selain mengangkat sukan yang mempunyai kepentingan di negara itu, namun keputusan muktamad masih belum dibuat.
Sukan Komanwel 2030 akan menjadi edisi ulang tahun ke-100 temasya itu dengan acara utama dijadual berlangsung di Stadium Narendra Modi yang mampu menampung 120,000 penonton.
Acara sukan di Ahmedabad dijangka membabitkan 17 jenis sukan, meningkat daripada hanya 10 sukan pada edisi Glasgow 2026 yang dikurangkan susulan penarikan diri Victoria sebagai tuan rumah.
Sadlier berkata jumlah itu dianggap paling sesuai bagi memastikan kos penganjuran kekal berpatutan.
“Kami mengurangkan program sukan kerana mahu menjadikan Sukan Komanwel lebih mampu dianjurkan oleh negara anggota.
“Apa yang dilakukan di Glasgow sangat berjaya, namun kami akan membawa kembali beberapa sukan tanpa melebihi 17 acara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




