Amorim yakin United tak perlu tunggu sedekad untuk juara liga

Amorim yakin United tak perlu tunggu sedekad untuk juara liga

London: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, percaya kelab itu mampu menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) jauh lebih awal berbanding tempoh 10 atau 11 tahun seperti dibimbangi legenda kelab, Alex Ferguson.

United masih gagal menambah koleksi 20 kejuaraan liga Inggeris sejak Ferguson menamatkan tugasnya sebagai juara pada 2013.

Ferguson sebelum ini memberitahu Press Box PR bahawa United kini berada ‘dalam situasi sama’ seperti Liverpool, yang pernah menunggu hampir 30 tahun sebelum kembali menjuarai liga, sambil menganggarkan ia mungkin mengambil masa 10 atau 11 tahun sebelum trofi liga kembali ke Old Trafford.

Namun Amorim menegaskan tempoh itu tidak akan selama itu.

“Beliau memahami bola sepak lebih daripada saya, terutama bola sepak England,” kata Amorim kepada wartawan pada Jumaat.

“Tetapi saya rasa kami tidak akan mengambil masa yang lama untuk memenangi liga. Saya juga tidak tahu pengurus mana yang akan berada di sini nanti.

“Namun saya benar-benar percaya kami boleh bersaing merebut kejuaraan dalam beberapa tahun akan datang. Ia tidak akan mengambil masa yang terlalu lama.”

United kini menghuni tangga keenam EPL menjelang aksi menentang pasukan tempat ketiga, Aston Villa, pada Isnin, selepas melalui musim yang tidak konsisten setakat ini.

Dalam sidang media pra perlawanan sama, Amorim turut diminta mengulas kenyataan kapten kelab, Bruno Fernandes, kepada media Portugal yang mendakwa United mahu menjualnya pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Fernandes berkata, Amorim masih memasukkannya dalam perancangan, sekali gus meyakinkannya untuk kekal di Old Trafford, namun dia mengakui terkesan dengan pendirian hierarki kelab.

“Dia menyuarakan apa yang dia rasa,” kata Amorim mengenai pemain senegara itu.

“Sudah tentu perkara seperti ini boleh dielakkan kerana kami tahu akan wujud rungutan, tetapi dia sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan saya fikir semuanya sudah jelas.”

Fernandes turut memberi bayangan tidak semua pemain mempertahankan United seperti yang dilakukannya.

“Saya tidak tahu sama ada ia adil atau tidak,” kata Amorim.

“Dia cuma bercakap mengenai perasaannya. Dia perlu menjawabnya sendiri, bukan saya.

“Saya fikir dia adalah contoh pemain yang memberikan segalanya. Dia mempertaruhkan segalanya dalam setiap sesi latihan dan setiap perlawanan. Dalam aspek itu, dia memang istimewa.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top