am@hmetro.com.my
Seremban: Tidak sekadar mabuk dan mengganggu pelanggan, kehadiran pengemis serta gelandangan di Pasar Besar Seremban di sini sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan.
Difahamkan, masalah berkenaan sudah lama berlarutan namun ia semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Peniaga Pasar Besar Seremban, Koh Lee Giap berkata, dia menerima pelbagai aduan daripada peniaga dan pelanggan mengenai dua golongan terbabit.
“Berdasarkan aduan yang diterima, kami dapati ada pengemis, gelandangan dan ada yang melakukan kedua-duanya iaitu gelandangan yang mengemis.
“Ada kes yang kami terima, seorang gelandangan ini kaki mabuk dan akan minum di tempat tersorok di dalam pasar terutama di kawasan tandas pada waktu malam.
“Dia juga tinggalkan botol minuman keras berselerakan di kawasan itu. Ada juga yang akan meminta duit daripada pelanggan apabila tidak dilayan, dia akan mengamuk,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, ada juga individu yang sihat tubuh badan, tetapi mengemis di pasar berkenaan selain ada juga gelandangan yang tidak mengacau atau mengganggu orang awam.
“Badan sihat, tetapi tak mahu bekerja dan hanya pandai meminta duit. Mereka buat orang di sini rasa serba salah dan tidak selesa lalu buat aduan kepada kami.
“Ada juga seorang wanita yang membawa anaknya dalam lingkungan 12 tahun untuk mengemis. Bukan sahaja pakaiannya kotor, malah berbau juga.
“Terdapat juga laporan gelandangan yang menumpang dan tidur di kawasan pasar walaupun mereka tidak mengganggu pelanggan, tetapi ia mencacatkan pandangan dan memburukkan suasana,” katanya.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Yap berkata, terdapat kes kecurian barang jualan peniaga dipercayai angkara gelandangan yang mabuk.
“Kalau tidak ganggu pelanggan, mungkin kami tidak kisah dengan kehadiran mereka. Namun ada yang agresif, malah akan marah pelanggan jika tidak beri duit.
“Sini tempat kami cari makan, kalau pelanggan rasa tidak selesa atau tidak selamat, mereka akan lari ke tempat lain. Maka kami akan hilang pelanggan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




