Neymar mengamuk akibat kesilapan pertukaran pemain

Neymar mengamuk akibat kesilapan pertukaran pemain

Rio de Janeiro: Neymar berdepan detik buruk dalam aksi terakhirnya untuk merebut tempat ke skuad Piala Dunia Brazil apabila pegawai perlawanan tersilap mengeluarkan pemain ketika Santos tewas 0-3 kepada Coritiba, Ahad lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu dikeluarkan secara dramatik selepas dia mendakwa pegawai keempat melakukan kesilapan pertukaran pemain apabila mengarahkan Neymar keluar berbanding rakan sepasukan, Gonzalo Escobar, walaupun penyerang itu hanya keluar sementara untuk menerima rawatan pada betisnya.

Pegawai keempat kemudian mengangkat papan pertukaran dengan nombor 10 milik Neymar dipaparkan ketika Robinho Jr masuk menggantikannya.

Namun, ketika Neymar cuba kembali ke padang, dia menerima kad kuning sebelum terbabit dalam bantahan dengan keadaan yang sangat marah.

Pengadil enggan melayan hujahnya dan dalam keadaan terdesak, Neymar merampas borang pertukaran daripada pegawai perlawanan lalu menunjukkannya kepada kamera televisyen sebagai bukti Escobar sepatutnya dikeluarkan, bukannya dirinya.

“Pegawai keempat melakukan kesilapan pertukaran pemain.

“Ia disahkan menerusi rakaman televisyen dan nota digunakan pegawai perlawanan ketika pertukaran dibuat. Kesilapan yang sukar dijelaskan dan tidak diperbetulkan,” kata Santos menerusi hantaran di X.

Kekeliruan itu hadir pada waktu paling tidak sesuai buat Neymar ketika jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti dijadual mengumumkan skuad Piala Dunia pada Isnin.

Pengendali dari Itali itu sebelum ini berkata pemilihan Neymar bergantung kepada tahap kecergasan dan prestasi, bukannya sentimen. Neymar merekodkan enam gol dan empat bantuan jaringan bersama Santos dalam semua pertandingan musim ini.

Walaupun muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, Neymar tidak lagi beraksi bersama pasukan bola sepak kebangsaan Brazil sejak 2023 akibat kecederaan serta pembedahan lutut yang menyaksikannya berehat selama setahun.

Pemain itu akhirnya meninggalkan padang dalam keadaan kecewa sebelum menyerahkan lilitan kapten kepada Escobar, pemain yang sepatutnya digantikan sejak awal lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top