'Anak bakal berdepan masalah identiti'

'Anak bakal berdepan masalah identiti'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

ISU sindiket nikah tanpa kebenaran bukanlah baru di negara ini dengan beberapa siri pendedahan media massa sejak beberapa tahun lalu.

Pernikahan yang bukan saja diragui statusnya itu memberi kesan bukan saja kepada perkahwinan malah ia boleh menimbulkan masalah kepada masa depan anak-anak.

Wartawan MOHAMMAD KHAIRIL ASHRAF MOHD KHALID mendapatkan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) DATUK DR MOHD NA’IM MOKHTAR untuk Kafe Ahad minggu ini.r Mohd Na’im Mokhtar untuk Kafe Ahad minggu ini.

Apa pandangan Datuk mengenai isu ini?

Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tiada istilah ‘nikah sindiket’ atau ‘nikah palsu.’ Penggunaan perkataan itu digunakan oleh orang awam kerana lazimnya perkahwinan tersebut tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

Contoh kesalahan perkahwinan tanpa kebenaran termasuklah tidak mendapat kebenaran Jain contoh wali menikahkan anak perempuan tanpa kebenaran Jain, tidak mendapat kebenaran Mahkamah Syariah bagi kes poligami atau wali hakim atau wali enggan, jurunikah tidak ada tauliah, tidak mengikut tertib susunan wali, pernikahan dijalankan kurang daripada dua marhalah dan bilangan saksi kurang daripada dua orang atau saksi perempuan.

Namun begitu, terdapat beberapa kes yang membabitkan nikah sindiket yang sah menurut hukum syarak tetapi tidak sah dari sudut perundangan. Sebagai contoh, sekiranya pasangan dinikahkan oleh ahli keluarga sendiri dan perkahwinan itu memenuhi semua syarat sah nikah namun dari sudut perundangan, ia bersalahan dengan kehendak perundangan kerana pernikahan tersebut dilakukan oleh jurunikah tidak bertauliah atau perkahwinan tersebut tidak mendapat kebenaran.

Sekiranya berdepan dengan isu ini, apa yang perlu masyarakat lakukan?

Masyarakat perlu tahu saluran yang betul untuk melaporkan aktiviti mencurigakan berkaitan nikah sindiket dan pemalsuan dokumen. Ini termasuk nombor telefon, laman web, atau pejabat yang boleh dihubungi. Masyarakat seharusnya melaporkan berkaitan dengan aktiviti nikah sindiket ke Pejabat Agama begitu juga kepada pasangan yang telah berkahwin melalui nikah sindiket ini seharusnya mengesahkan pernikahan sama ada sah ataupun tidak di Mahkamah Syariah.

Menyokong usaha pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap sindiket dan individu yang terbabit dalam pemalsuan dokumen.

Selain itu, perlunya kumpulan komuniti yang berfungsi sebagai pemantau dan berwaspada terhadap aktiviti mencurigakan. Kumpulan ini boleh melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika terdapat tanda-tanda aktiviti sindiket.

Kita juga menggalakkan komuniti untuk saling mengawasi dan berkongsi maklumat jika terdapat aktiviti yang mencurigakan. Pengawasan komuniti dapat membantu mengesan dan menghalang aktiviti sindiket dari awal.

Apakah inisiatif diambil untuk membendung isu seperti ini?

Sudah tiba masanya untuk mengimplementasikan sistem pengesahan elektronik yang menghubungkan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Agama Islam dan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan dokumen perkahwinan adalah sah dan asli. Pada masa ini, Jakim bangunkan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) yang mana amat bermanfaat kepada masyarakat supaya urusan kebenaran nikah serta yang berkaitan dapat dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.

Operasi bersama antara Jain, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan pihak berkuasa tempatan untuk membanteras sindiket nikah yang menggunakan dokumen palsu.

Tindakan tegas terhadap mereka yang didapati terbabit dalam sindiket ini, termasuklah pihak yang mengurus, memalsukan, dan menggunakan dokumen palsu.

Kita juga melancarkan kempen kesedaran melalui media massa dan media sosial mengenai risiko dan akibat nikah sindiket serta pemalsuan dokumen, program kesedaran di peringkat komuniti, termasuk ceramah, forum, dan seminar untuk mendidik masyarakat.

Antara yang lain termasuklah menjalin kerjasama dengan negara jiran untuk pertukaran maklumat mengenai sindiket nikah antarabangsa yang menggunakan dokumen palsu serta mengadakan latihan bersama antara pihak berkuasa Malaysia dan negara jiran untuk mempertingkatkan keupayaan mengesan dan membanteras sindiket ini.

Secara umum, apa risikonya bila berurusan dengan sindiket dan bukannya pihak berwajib?

Perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah tidak diiktiraf oleh undang-undang, yang boleh menyebabkan pelbagai masalah perundangan termasuk status anak yang dilahirkan, hak pewarisan, dan hak nafkah.

Pasangan yang terbabit dalam nikah sindiket mungkin menghadapi stigma sosial dan tekanan emosi. Anak-anak yang dilahirkan daripada perkahwinan ini juga mungkin menghadapi masalah identiti dan hak pewarisan.

Pemalsuan dokumen boleh menyebabkan masalah serius dalam jangka panjang, termasuk rekod perkahwinan yang tidak sah dan kesukaran dalam proses undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top