suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lima daripada 15 finalis terbaik dalam pertandingan Shell LiveWIRE 2024 dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dinobatkan sebagai pemenang nasional.
Syarikat berkenaan iaitu Global Cerah Sdn Bhd dari Sabah; Koperasi Opah Sri Aman Bhd dan 4×4 Quest Sdn Bhd dari Sarawak dan Reclimate Sdn Bhd serta Synbiozymes Sdn Bhd dari Semenanjung Malaysia adalah antara 180 usahawan yang menyertai program Shell LiveWIRE 2024.
Pengasas bersama Synbiozymes Sdn Bhd, Hidayah Shahidan berkata, selepas melalui pelbagai cabaran dalam membina syarikat dan merealisasikan misi untuk kelestarian alam sekitar dan keterjaminan makanan, dinobatkan sebagai pemenang nasional Shell LiveWIRE 2024 adalah satu penghormatan luar biasa dan saat sangat bermakna bagi dirinya juga pasukan.
Menurutnya, kejayaan syarikat itu bukan saja mengiktiraf segala usaha, dedikasi dan semangat dicurahkan kepada Synbiozymes, tetapi pemangkin semangat dan bukti kepada potensi impak projek Synbiozymes kepada petani dan negara amnya.
“Minat saya terhadap teknologi enzim dan mikrob serta kelestarian alam sekitar untuk menangani cabaran global yang kritikal iaitu penghapusan sisa pertanian dan keterjaminan makanan menjadi faktor utama penubuhan Synbiozymes.
“Namun perjalanan Synbiozymes untuk sampai ke tahap ini penuh suka dan duka yang tidak terjangka dan saya terpaksa memulakan perniagaan sebagai pengasas tunggal apabila pasukan asal berpecah.
“Walaupun kelihatan seperti tragedi pada awalnya, kini saya berpendapat ini salah satu perkara terbaik pernah berlaku dalam perjalanan membina Synbiozymes,” katanya.
Synbiozymes yang kini diusahakan bersama dua lagi pengasas bersama iaitu Dr Akhmal Hakim Roslan dan Ariff Ikhzam memanfaatkan bioteknologi untuk menangani cabaran keterjaminan makanan di Malaysia.
Dengan menukar sisa ternakan ayam kepada makanan haiwan kaya protein menggunakan enzim dan bakteria, syarikat pemula ini mengurangkan kebergantungan kepada bijirin import sebagai sumber protein dan menyokong ekonomi kitaran.
Pendekatan inovatif ini bukan sahaja meminimumkan kesan alam sekitar, tetapi juga memupuk ekosistem pertanian mampan.
Hidayah berkata, sebagai syarikat pemula, membuktikan kebolehupayaan idea tidak mudah memandangkan masih berada di peringkat pra-pengeluaran.
Menurutnya, kekangan sumber juga realiti yang dihadapi terutama dalam mengimbangi keperluan R&D, operasi dan pembangunan pasaran memerlukan fokus.
“Cabaran seperti kesukaran mendapatkan dana, kelewatan dalam membentuk pasukan dan keputusan sukar juga menguji kami.
“Namun, setiap cabaran memberikan peluang untuk menyesuaikan strategi dan terus bergerak ke hadapan. Keazaman akhirnya membolehkan kami meletakkan asas lebih kukuh untuk Synbiozymes,”katanya.
Memenangi pertandingan berprestij seperti Shell LiveWIRE bukan sahaja memberikan pembiayaan dana RM 30,000, tetapi juga menambah kredibiliti kepada visi Synbiozymes.
Program Shell LiveWIRE memberi akses untuk jaringan hubungan dan penambahbaikan strategi untuk mengatasi cabaran dan mendokong Synbiozymes untuk terus maju.
Reclimate Sdn Bhd adalah perusahaan sosial yang mempunyai matlamat memperkasa pekebun kecil di Malaysia dengan mengubah sisa pertanian menjadi biochar iaitu penyelesaian lestari yang meningkatkan kesihatan tanah, mengurangkan pelepasan karbon dan membuka nilai tambahan daripada hasil sampingan pertanian.
Selain manfaat dalam bidang pertanian, Reclimate yang diasaskan Yovindra Kanezin dan Annamalai Thani ini juga memudahkan kemasukan ke pasaran karbon dengan membolehkan pekebun memperoleh pendapatan melalui kredit karbon berkualiti tinggi.
Pendekatan nilai dua hala ini meningkatkan produktiviti pertanian sambil mewujudkan sumber pendapatan tambahan sekali gus membantu pekebun mencapai ketahanan ekonomi dan mengamalkan kaedah pertanian mesra iklim.
Justeru, apabila dinobatkan antara pemenang nasional Shell LiveWIRE 2024, ia kemenangan yang cukup bermakna.
Katanya, apa yang lebih penting, kemenangan ini bukan hanya mengenai syarikatnya, tetapi juga buat pekebun yang mendapat manfaat daripada projek dan kesan yang kami cuba wujudkan.
“Kejayaan ini mengingatkan kami bahawa penyelesaian lestari seperti biochar benar-benar boleh membawa perubahan dan pengiktirafan ini memberi kami semangat terus maju,” katanya.
Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah bagi Reclimate kerana banyak cabaran perlu dilalui.
Ini termasuk menangani keraguan awal dari pekebun kecil mengenai penggunaan teknologi baharu seperti sistem dMRV digital, konsep pengeluaran biochar dan mengharungi kerumitan pasaran kredit karbon.
Yovindra berkata, sebagai syarikat baharu, ia satu cabaran untuk memahami dan mengintegrasikan pelbagai piawaian pematuhan.
“Program Shell LiveWIRE ibarat batu loncatan kepada kami kerana ia menawarkan beberapa modul utama yang sangat bermanfaat dalam membantu kami menangani cabaran operasi sebagai syarikat peringkat awal.
“Kadang-kadang, penting mengambil langkah ke belakang dari rutin harian dan menyertai program seperti ini untuk membuat penyesuaian strategik selari matlamat besar kami adalah sangat membantu.
“Mentor ditugaskan kepada kami juga sangat membantu. Mereka memberikan panduan sangat bernilai, baik dalam persediaan untuk peringkat akhir mahupun dalam memperhalusi arah perniagaan kami secara keseluruhan,” katanya.
Berkongsi perancangannya selepas menjadi pemenang peringkat nasional, Yovindra berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu pengembangan serantau dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Tahun 2025 menjadi menarik apabila kami beroperasi di empat negara baru di Asia Tenggara dengan rancangan untuk projek Biochar Reclimate aktif di lima negara menjelang akhir tahun.
“Dalam hal R&D, kami menandatangani perkongsian dengan Universiti Malaya bagi membangunkan produk bernilai tinggi daripada projek yang dijalankan.
“Kerjasama ini membolehkan kami mempelbagaikan tawaran dan mengembangkan ke dalam vertikal baru,” katanya.
Malah, Reclimate juga berhasrat menjadi peneraju serantau dalam bidang teknologi iklim, memacu inovasi untuk membuka nilai daripada sisa pertanian dan organik, mengubahnya menjadi sumber bernilai dalam 10 tahun akan datang.
Bagi mereka di luar sana yang mahu menjadi usahawan, nasihat Yovindra mulakan perniagaan dengan tujuan dan fokus menyelesaikan masalah penting.
“Jangan tunggu ‘waktu sempurna’ untuk memulakan. Mulakan ia dengan apa yang anda ada. Ambil langkah kecil dan berintentional ke arah matlamat anda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
