am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Gunakan perkhidmatan kurier selain berselindung di sebalik kedai menjual buah-buahan serta insuran kenderaan untuk mengedar dadah ganja.
Itu taktik digunakan dua beranak yang akhirnya dibongkar polis susulan penahanan mereka Sabtu lalu.
Menerusi serbuan jam 1 tengah hari di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang itu, polis merampas 40 kilogram (kg) dadah jenis ganja.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata, suspek ditahan membabitkan lelaki berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun.
“Susulan pemeriksaan di premis berkenaan, polis menemui satu bungkusan di belakang premis berisi 40 kg tumbuhan kering dipercayai dadah ganja bernilai RM120,000.
“Siasatan awal mendapati, suspek berusia 40 tahun bertindak sebagai koordinator, manakala anaknya sebagai `runner’ ( penghantar ).
“Mereka dipercayai menghantar bekalan dadah terbabit menggunakan perkhidmatan kurier dan premis tiu adalah milik mereka.
“Selain menyediakan perkhidmatan kurier, premis berkenaan turut menjual insuran kenderaan untuk ke Thailand selain menjual buah buahan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK di sini, tadi.
Mengulas lanjut berkata, bekalan dadah itu dipercayai dihantar untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Polis turut menyita premis, sebuah kenderaan, motosikal dan wang tunai RM184,800 dan barang kemas membabitkan keseluruhan rampasan termasuk dadah bernilai hampir RM1 juta .
“Dua beranak itu kini ditahan reman tujuh hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah dadah yang dirampas itu boleh merosakkan lebih 80,000 penagih dadah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




