am@hmetro.com.my
Seremban: Dua kanak-kanak dipercayai adik-beradik yang ditemukan di tepi jalan dekat Garden Avenue, Seremban 2, di sini, semalam, bukannya ditinggalkan ibu bapa mereka.
Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kedua-dua kanak-kanak itu keluar sendiri dari rumah tanpa disedari ibu bapa.
“Bertindak atas maklumat penemuan dua kanak-kanak oleh orang awam, pihak polis segera ke tempat kejadian lalu membawa kedua-dua kanak-kanak itu ke Balai Polis Seremban 2.
“Ia bertujuan perlindungan dan pengesahan identiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Mohamad Hatta, hasil pemeriksaan fizikal pihak polis terhadap kanak-kanak berkenaan tiada terdapat sebarang kecederaan atau sebarang tanda mencurigakan.
“Kami berjaya mengesan ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang warga Myanmar. Hasil siasatan pihak polis, kanak-kanak ini dipercayai keluar dari rumah dengan sendiri ketika bapanya sedang tidur dan ibunya pula bekerja.
“Kanak-kanak itu kini sudah diserahkan semula kepada ibu bapanya,” katanya.
Justeru, beliau berkata, polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memastikan pintu rumah dikunci dan anak-anak kecil tidak ditinggalkan tanpa pengawasan.
“Pihak polis turut berterima kasih kepada orang awam yang prihatin dan pantas melaporkan insiden ini. Kami juga meminta kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kes ini sudah selesai,” katanya.
Media malam tadi melaporkan dua kanak-kanak ditemukan orang awam ditemui di tepi jalan dan video kejadian tular itu di media sosial mendakwa mereka ditinggalkan ibu bapa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




