Anak penyu agar betina ditemukan mati

Anak penyu agar betina ditemukan mati

KUALA TERENGGANU: Seekor anak penyu agar betina ditemukan mati terdampar di Pantai Beting Lintang, Besut, dekat sini, semalam.

Kewujudan bangkai penyu itu disedari oleh beberapa pelanggan dan pemilik kedai makan yang terletak berhampiran pantai itu kira-kira pukul 12 tengah hari.

Aktivis Geng Plastik Ija (GPI) Daerah Besut, Afifah Ab. Aziz, 40, berkata, dia mendapat tahu mengenai penemuan bangkai itu melalui seorang kawannya di Facebook yang memuat naik gambar dan video haiwan itu.

“Kawan saya beritahu orang ramai di pantai itu belum memaklumkan penemuan tersebut kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

“Disebabkan itu, saya bergegas ke lokasi bersama seorang lagi ahli GPI daerah Besut, Nor Ainsyafikah Madiran, 25, untuk mendapatkan gambaran sebenar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, setibanya  di lokasi pada pukul 6 petang,  bangkai penyu itu telah ditanam menyebabkan ihaknya terpaksa mengorek emula  bagi tujuan mengambil ukuran dan beberapa data berkaitan sebagai laporan awal untuk makluman Jabatan Perikanan.

Menurutnya, orang awam belum mengetahui  tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjumpa penyu atau apa-apa spesies haiwan terancam sama ada hidup atau mati.

Tambahnya, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlu memperhebatkan lagi program kesedaran agar orang ramai mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya menjumpai penyu di pantai negeri ini.

“Saya difahamkan penemuan bangkai penyu itu adalah yang pertama di pantai tersebut pada tahun ini dan berharap punca kematian dapat disiasat oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu secepat mungkin,” katanya.- UTUSAN