Ancelotti tiba di Brazil, sedia pulih maruah pasukan

Ancelotti tiba di Brazil, sedia pulih maruah pasukan

Rio de Janeiro: Beberapa hari selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Real Madrid, Carlo Ancelotti kini bersedia menggalas tanggungjawab baharu sebagai pengendali skuad kebangsaan Brazil dengan misi mengembalikan kegemilangan Selecao di pentas dunia.

Legenda Itali itu menjadi jurulatih asing pertama dalam tempoh lebih 60 tahun yang dilantik membimbing pasukan lima kali juara Piala Dunia itu.

Ancelotti, 65, tiba di Rio de Janeiro dengan mengenakan topi bertatah lima bintang sebagai simbolik kepada lima gelaran Piala Dunia yang pernah dimenangi Brazil. Beliau dijangka diperkenalkan secara rasmi kepada media hari ini.

“Semoga Christ the Redeemer memberkati ketibaan Encik Carlo Ancelotti supaya beliau dapat membawa pulang trofi keenam Piala Dunia yang amat didambakan,” kata Presiden baharu Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF), Samir Xaud.

Pelantikan Ancelotti dibuat susulan pemecatan Dorival Junior pada Mac lalu selepas kekalahan memalukan 1-4 kepada seteru utama, Argentina, dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Brazil kini menghuni tangga keempat dalam carta kelayakan zon Amerika Selatan, dan dijangka berdepan dua aksi penting Jun ini menentang Ecuador dan Paraguay.

Bekas pengurus Chelsea, AC Milan dan Bayern Munich itu turut dijangka mengumumkan senarai skuaddengan tumpuan terarah kepada bintang sensasi, Neymar, yang dilaporkan berpeluang dipanggil semula selepas hampir dua tahun menyepi.

Neymar, yang kini bersama kelab lamanya Santos, bergelut dengan kecederaan sepanjang beraksi di Arab Saudi dan belum tampil dalam skuad kebangsaan sejak itu.

“Saya berjanji untuk memberi Ancelotti autonomi sepenuhnya. Kita mahu membina semula pasukan yang disegani di dunia,” tegas Xaud, yang baru dilantik menggantikan Ednaldo Rodrigues yang disingkirkan mahkamah atas dakwaan pemalsuan kontrak.

Walaupun ini adalah kali pertama Ancelotti membimbing pasukan kebangsaan, rekodnya sebagai jurulatih kelab cukup cemerlang dengan lima gelaran Liga Juara-Juara iaitu paling banyak dalam sejarah kejurulatihan Eropah.

Kontrak baharu itu dilaporkan bernilai sekitar €10 juta (RM52.7 juta) setahun, dengan anaknya, Davide Ancelotti akan turut serta sebagai pembantu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top