NEW YORK – Bangladesh sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa memperkukuh usaha melindungi orang awam, menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta memastikan sokongan berterusan bagi membolehkan pelarian Rohingya dihantar pulang ke Myanmar secara selamat dan sukarela.
Timbalan Menteri Luar Bangladesh, Shama Obaed Islam berkata, komuniti antarabangsa perlu meningkatkan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa di samping melabur lebih banyak dalam usaha pencegahan konflik.
Beliau menyuarakan perkara itu ketika berucap pada sesi perbincangan panel peringkat tinggi sempena Segmen Hal Ehwal Kemanusiaan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) 2026 di ibu pejabat PBB di New York pada Khamis.
Menurut beliau, kerjasama lebih erat antara agensi kemanusiaan, keamanan dan pembangunan amat penting bagi menangani krisis global yang semakin kompleks.
Shama turut menekankan peranan wanita dalam usaha pembinaan keamanan dan operasi kemanusiaan serta menggesa penyertaan mereka diperkukuh dalam proses penyelesaian konflik dan pemulihan pascakonflik.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gangguan digital, penyebaran maklumat palsu dan penyalahgunaan siber yang menyasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa pengurangan dana bantuan kemanusiaan kepada komuniti Rohingya boleh meningkatkan risiko serta kerentanan golongan wanita dan kanak-kanak pelarian.
Mengulangi pendirian Bangladesh berhubung krisis Rohingya, beliau menegaskan bahawa penghantaran pulang warga Myanmar yang dipaksa meninggalkan negara mereka secara selamat, sukarela dan bermaruah kekal sebagai satu-satunya penyelesaian jangka panjang yang mampan.-Agensi



