ARSENAL berdepan tamparan besar menjelang aksi tumpuan menentang Liverpool di Anfield minggu ini selepas tonggak sayap, Bukayo Saka disahkan terpaksa direhatkan sehingga empat minggu akibat kecederaan hamstring.
Pemain berusia 23 tahun itu mengalami masalah otot berkenaan ketika kemenangan 5-0 ke atas Leeds United di Emirates pada Sabtu, sekali gus memaksanya diketepikan daripada skuad England bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan Serbia bulan depan.
Lebih merisaukan pengendali Mikel Arteta, kapten pasukan Martin Odegaard turut diragui kesediaannya selepas mengalami kecederaan bahu pada perlawanan sama.
Pemain tengah kreatif Norway itu kelihatan kesakitan sebelum digantikan seawal babak pertama, malah difahamkan meninggalkan stadium dengan lengannya bersandar anduh.
Bagaimanapun, sumber dalaman Arsenal mendedahkan kecederaan Odegaard masih dipantau dan belum disahkan akan terlepas perlawanan getir menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.
Terdapat keyakinan kedua-dua pemain bukan mengalami kecederaan jangka panjang.
Situasi ini tetap memberi kelegaan buat The Gunners memandangkan Saka pernah terlepas aksi selama tiga bulan musim lalu akibat masalah hamstring yang sama.
Arsenal bagaimanapun memiliki pilihan lebih meluas di jentera serangan selepas membawa masuk Viktor Gyokeres, Noni Madueke dan Eberechi Eze pada jendela perpindahan musim panas.
Selain itu, Arteta masih boleh bergantung kepada Gabriel Martinelli, Leandro Trossard, Ethan Nwaneri serta remaja berbakat Max Dowman untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Saka dan kemungkinan Odegaard.