najiy.jefri@hmetro.com.my
PENANTIAN selama 17 tahun berakhir dengan kehadiran sekuel filem seram yang pernah mencetuskan fenomena, Jangan Pandang Belakang dengan judul baharu iaitu Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu (JPB2).
Jika dulu filem terbabit diarahkan oleh Ahmad Idham, kali ini Pierre Andre, 39, mengambil alih kerusi pengarah untuk JPB2 yang mencatat kutipan RM2 juta dalam masa empat hari tayangan.
Masih diterbitkan oleh Metrowealth International Group (MIG), Pierre yang sudah lebih satu dekad tidak mengarah filem, percaya karya ini mampu menghidupkan semula nostalgia seram bagi peminat yang setia menantikan kesinambungannya.
Cemburu dengan kejayaan adik-beradik Syamsul dan Syafiq Yusof sebagai pengarah filem pecah panggung, Pierre berharap dapat mencipta kejayaan sama untuk filem JPB2.
“Saya mahu jadi seperti Syamsul dan Syafiq, mereka sering meraih kutipan luar biasa. Saya tak pernah merasa dan tak perlu beri saya anugerah, cukup beri saya peluang merasa kutipan ‘box-office’, itu pun saya dah puas hati.
“Bila lihat kejayaan filem lain dapat kutipan sampai RM20 juta hingga RM30 juta, saya sebenarnya cemburu.
“Walaupun bukan saya yang menerbitkan filem itu, tapi jadi satu kepuasan jika jualan tiket cecah pecah panggung,” katanya pada Malam Gala Filem Jangan Pandang Belakang 2, baru-baru ini.
Mengakui 17 tahun adalah tempoh terlalu lama untuk menambat semula hati ramai, Pierre bersyukur apabila semua barisan pelakon yang terbabit dengan JPB2 memberi kerjasama dan hasil kerja terbaik walaupun berdepan kekangan masa yang singkat.
“Sebenarnya agak gementar untuk mengarah filem ini sebab jangkaan orang ramai untuk JPB2 sangat tinggi, ditambah pula dengan kutipan ‘box office’ yang pernah diraih filem pertama.
“Saya pula main gila tiba-tiba setuju mengarah filem ini. Bila saya terima tawaran itu sejujurnya memberikan tekanan yang sangat besar buat saya.
“Kalau ikutkan, hampir 80 peratus skripnya saya rombak, tetapi tetap tidak kacau asas cerita ini. Saya hanya rombak lakon layar sebab kami dah kesuntukan masa. Saya juga kerap berfikir adakah orang ramai akan terima JPB2, memang risau.
“Namun, selepas melihat usaha pasukan produksi dan dedikasi barisan pelakon, kerisauan itu hilang,” katanya.
Dalam masa sama, Pierre mengakui tertekan dengan harapan penerbit, Datuk David Teo dan barisan pelakon termasuk ibunya, Khatijah Tan yang mengharapkan filem itu pecah panggung.
“Harapan semua yang terbabit dalam filem ini sangat tinggi kerana JPB pertama menjadi fenomena.
“Dari awal dapat skrip, saya dah tertekan kerana skripnya tidak seperti apa yang saya gambarkan. Saya hanya ada dua bulan untuk perbaiki lagi skrip itu. Kalau saya ubah 100 peratus mungkin tertangguh enam bulan lagi,” katanya.
Menurut Pierre, dia berpandangan cerita seram tidak semestinya memaparkan imej hantu secara terang-terangan sebaliknya boleh dilakukan dengan teknik imbasan.
“Saya juga sengaja main tarik tali dengan perasaan penonton dengan tidak menggunakan imej hantu yang nampak
‘seketul’.
“Saya tak mahu orang nampak bahan yang digunakan untuk hasilkan imej itu seperti latex atau darah palsu sebab jadi tidak realistik.
“Berdasarkan pengalaman saya nampak hantu, memang tak nampak bentuk betul, tetapi hanya imbasan,” katanya.
Katanya, dia bukan pengarah yang mahu menghasilkan sebuah cerita hantu sebaliknya mengetengahkan mood seram dalam naskhah arahannya.
“Kalau orang nak membanding-bandingkan JPB dengan JPB2, terpulang dan itu hak masing-masing. Harap orang ramai dapat menerima cara saya dan filem ini dapat sambutan hebat,” katanya.
Mahu dikenali sebagai ‘King Of Horror’, Pierre berkata, jika di Indonesia ada Joko Anwar, di Malaysia dia mahu menjadi seperti itu.
Pierre berkata, dia juga ingin mengangkat genre filem seram tempatan yang semakin kurang kualiti dengan menghasilkan banyak filem bagus.
Katanya, pengarah kita masih selesa berada di tempat sama, tetapi Pierre mahu lari dari konsep sama, bukan untuk bersaing sebaliknya dia hanya mahu menaikkan industri filem seram tempatan.
JPB2 yang diterbitkan Metrowealth International Group (MIG) dibintangi Emma Maembong, Iedil Dzuhrie, Khatijah Tan, Mawar Rashid dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd