Angeline Tan bersyukur tak tinggal solat

Angeline Tan bersyukur tak tinggal solat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber, Ardini Angeline Tan, 57, sangat bersyukur kerana Allah memelihara dirinya untuk tidak meninggalkan solat lima waktu sebagai mualaf sejak dua tahun lalu.

Ardini atau mesra disapa Angeline memeluk Islam pada 26 September 2023 sebelum bernikah dengan pengarah dan pelakon, Sabri Yunus, 64, pada 14 Oktober tahun sama.

Menurut Angeline, sebagai mualaf tidak dinafikan agak susah juga dia menetapkan ketulusan hati terhadap solat pada mulanya, namun perlu meletakkan tekad utuh untuk tidak meninggalkan solat.

“Mula-mula memang susah ya, tak biasa. Tapi, sekarang sudah biasa. Macam saya berada di sini (hadiri majlis), saya tak mampu nak solat, nanti saya balik (ke rumah), saya akan solat jamak.

“Tapi Insya Allah sampai hari ini, saya tak pernah tinggal solat lagi. Sebab satu permulaan yang baik dan saya rasa satu pembaharuan yang baik juga, biar saya kena betul-betul nekad ikut peraturan, ikut apa yang dibimbing.

“Kita jangan sia-sia satu permulaan yang bagus. Macam ini, jika satu kali kita tinggal (solat) nanti kita akan tinggal lagi dan kata, tak apa lah, tak apa.

“Tapi, kalau kita tak pernah (tinggalkan solat), janganlah jangan ‘brake the record’ (pecah rekod), aku kena buat, aku kena buat (solat). Ini adalah ‘my home work’, itulah yang saya fikir,” katanya kepada Harian Metro.

Baru-baru ini juga, Angeline dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) 2025.

Angeline semalam ditemui hadir pada majlis pelancaran Siri Drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar di sini.

Hadir sama barisan pelakon lain drama ini seperti Zamarul Hisham, Riena Diana, Lorenzo Irmann dan Shamsul Ngau Ngau.

Siri Drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet sebanyak lapan episod akan disiarkan di media sosial seperti TikTok, Instagram mulai hari ini jam 12 tengah hari, setiap Rabu dan Khamis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top