Angkasa anjur NAT Antarabangsa Perlis 2026 perkukuh ekosistem koperasi

Angkasa anjur NAT Antarabangsa Perlis 2026 perkukuh ekosistem koperasi

USAHA Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan terus diperkasa dengan penganjuran program NAT Antarabangsa Angkasa Perlis 2026.

Program bermula pada 1 hingga 3 Mei 2026 di Pasar Terapung JPS, Kangar, Perlis itu mengetengahkan platform jualan, promosi produk dan padanan perniagaan berkenaan.

Ia sekali gus dijangka menghimpunkan penyertaan koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana, agensi kerajaan, pemain industri dari dalam serta luar negara bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat khususnya di negeri Perlis.

Pengurus Besar Bahagian Korporat Angkasa, Halim Ibrahim berkata, program tersebut bakal menghimpunkan 50 pempamer koperasi yang menampilkan pelbagai produk, perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif.

Menurutnya, kepelbagaian penyertaan tersebut mencerminkan keupayaan gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan pasaran semasa, di samping memperlihatkan potensi besar sektor berkenaan untuk terus berkembang dalam landskap ekonomi negara.

“Penganjuran NAT Antarabangsa Angkasa Perlis 2026 selaras dengan usaha berterusan Angkasa dalam memperkasa koperasi sebagai platform ekonomi rakyat bagi meningkatkan pendapatan, mengurangkan beban kos sara hidup menerusi Jualan Rahmah Madani serta memperkukuh kapasiti perniagaan di negeri Perlis.

“NAT Antarabangsa Angkasa Perlis 2026 menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna, selain membuka peluang jaringan perniagaan antara koperasi serta rakan strategik.

“Antara pengisian utama majlis perasmian termasuk simbolik peluncuran NAT Antarabangsa Angkasa Perlis 2026 oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, selain pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, sempena program tersebut, turut dilancarkan platform NAT Antarabangsa Malaysia Halal Marketplace yang bertujuan memperluas capaian pasaran digital bagi produk koperasi, khususnya dalam segmen halal yang mempunyai potensi besar di peringkat global.

Beliau berkata, ‘Wacana NAT Antarabangsa: Cabaran dan Masa Depan’ akan dianjurkan pada 3 Mei 2026 dengan menghimpunkan pemain industri, pemimpin koperasi dan pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju serta strategi memperkukuh gerakan koperasi dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

“Wacana ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah. Kemuncak program ialah Majlis Perasmian NAT Antarabangsa Ang kasaPerlis 2026 yang akan disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada sebelah malam hari yang sama.

“Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, serta kehadiran kepimpinan negeri dan pemimpin gerakan koperasi,” katanya.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, persembahan khas serta pertunjukan bunga api yang menambah kemeriahan kepada acara kemuncak tersebut.

Selain itu, Kenduri Angkasa Negeri Perlis turut diadakan sebagai simbolik kebersamaan dan semangat kekitaan dalam kalangan anggota koperasi dan komuniti setempat.

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan NAT Antarabangsa Angkasa Perlis 2026 dan menyokong produk buatan Malaysia serta koperasi tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik, Jualan Rahmah Madani dengan harga berpatutan serta peluang memenangi cabutan bertuah menanti para pengunjung sepanjang program berlangsung.

Scroll to Top