Matta Fair tawar diskaun tiket kapal terbang hingga 30 peratus

Matta Fair tawar diskaun tiket kapal terbang hingga 30 peratus

PERJANJIAN strategik dengan Malaysia Aviation Group (MAG) menjadi pemacu Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) memberi peluang rakyat menikmati penerbangan lebih murah hingga 30 peratus sekali gus merancakkan industri pelancongan negara.

Naib Presiden Kajian dan Teknologi Matta, Datuk Mohd Hizzat Mohd Shah berkata, persetujuan bersama syarikat penerbangan itu dibuat setiap kali penganjuran Matta Fair bagi membolehkan potongan harga khas diberikan kepada pengunjung dalam tempoh promosi.

“Kami jalin kerjasama dengan MAG untuk menurunkan harga tiket dan boleh capai diskaun sehingga 30 peratus bergantung kepada laluan serta promosi semasa.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada pengguna dan membantu meningkatkan permintaan terhadap pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Perasmian Matta Fair Kelantan di sebuah pasar raya di Tunjong di sini pada Khamis.

Kamarudin (tengah) dan barisan kenamaan meletakkan tangan bebola sebagai simbolik perasmian. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Kamarudin (tengah) dan barisan kenamaan meletakkan tangan bebola sebagai simbolik perasmian. FOTO SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID

Majlis dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Menurut Mohd Hizzat, pendekatan kerjasama itu memberi kesan langsung kepada keseluruhan kos pelancongan apabila penurunan harga tiket turut menyebabkan harga pakej termasuk penginapan dan perkhidmatan pelancongan lain menjadi lebih rendah.

“Apabila tiket murah, hotel dan pakej pun jadi murah.

“Itu yang kami cuba lakukan supaya rakyat boleh melancong dengan lebih jimat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Matta Fair berfungsi sebagai platform utama industri pelancongan dengan penyertaan kira-kira 2,500 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) di seluruh negara.

Menurutnya, pameran di seluruh negara menghimpunkan sekitar 2,300 reruai dengan kerjasama Tourism Malaysia serta agensi pelancongan negeri termasuk Kelantan bagi memberi ruang kepada pemain industri mempromosikan produk masing-masing.

Mohd Hizzat (kanan) dan Kamarudin (tengah) melihat pakej pelancongan yang ditawarkan di Matta Fair. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Mohd Hizzat (kanan) dan Kamarudin (tengah) melihat pakej pelancongan yang ditawarkan di Matta Fair. FOTO SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID

Tambahnya, penganjuran Matta Fair edisi April lalu mencatatkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung yang mengambil peluang mendapatkan tawaran pakej dan tiket pada harga promosi.

“Pengunjung datang untuk mendapatkan tawaran terbaik yang hanya ditawarkan sepanjang tempoh Matta Fair,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Matta turut membangunkan sistem Trust yang membolehkan agensi pelancongan menyalurkan laporan secara terus kepada Motac bagi memudahkan aspek penguatkuasaan diambil sekiranya terdapat sebarang aduan.

“Sistem itu memudahkan proses tindakan diambil terhadap aduan termasuk berkait peniaga yang mengambil kesempatan kenakan caj tinggi selain meningkatkan kecekapan pengurusan industri pelancongan,” katanya.

Scroll to Top