Anjing jalanan gadai nyawa selamatkan 30 murid

Anjing jalanan gadai nyawa selamatkan 30 murid
Anjing jalanan gadai nyawa selamatkan 30 murid

Penduduk memberi penghormatan kepada Kali.-Gambar dijana AI – Agensi

ODISHA – Seekor anjing jalanan bernama Kali menjadi wira tidak didendang apabila dilaporkan mati selepas bertindak melindungi lebih 30 murid sekolah rendah daripada serangan seekor ular berbisa dalam kejadian di Kampung Dhirakula, daerah Mayurbhanj, Odisha baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan ketika sekumpulan murid sedang berada di kawasan sekolah sebelum seekor ular berbisa tiba-tiba muncul dan menghampiri mereka.

Dalam situasi cemas itu, anjing berkenaan bertindak pantas meluru ke arah reptilia tersebut bagi menghalang ia daripada mendekati kanak-kanak berkenaan.

Haiwan itu kemudiannya bergelut dengan ular tersebut sehingga berjaya membunuhnya.

Bagaimanapun, Kali mengalami gigitan berbisa di bahagian mulut ketika insiden berkenaan dan disahkan mati tidak lama selepas itu akibat kesan racun.

Kejadian itu mencetuskan kesedihan dalam kalangan penduduk kampung yang menyifatkan tindakan anjing tersebut sebagai pengorbanan luar biasa demi keselamatan manusia.

Penduduk kemudiannya mengadakan upacara pengebumian khas dengan meletakkan bunga serta kain putih pada jasad haiwan itu sebagai tanda penghormatan terakhir.

Seorang penduduk tempatan berkata, Kali akan terus dikenang sebagai “penyelamat yang berkorban nyawa demi melindungi anak-anak kampung”.

Pihak penduduk turut menyifatkan insiden itu sebagai bukti ikatan luar biasa antara haiwan dan manusia dalam situasi kecemasan. – Agensi

Scroll to Top