
Ekspatriat yang melanggar syarat mendapatkan permit haji akan dikenakan denda lebih RM20,000, diusir keluar dan dikenakan larangan memasuki kerajaan Arab Saudi selama 10 tahun. Gambar hiasan
RIYADH – Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa ekspatriat yang melanggar syarat mendapatkan permit haji akan dikenakan denda SAR20,000 (RM21,136.20), diusir keluar serta dikenakan larangan memasuki kerajaan Arab Saudi selama 10 tahun.
Kementerian itu menegaskan bahawa mendapatkan permit haji rasmi merupakan syarat asas untuk menunaikan ibadah haji, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Kementerian itu juga menggesa semua pihak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi musim haji 1447H/2026M dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan jemaah haji.
Ia turut memaklumkan bahawa pelanggaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Selain itu, kementerian berkenaan menyeru orang ramai melaporkan pelanggaran dengan menghubungi talian 911 di Makkah, Madinah, Riyadh dan wilayah Timur, serta 999 di seluruh wilayah lain di negara itu.- Bernama-SPA



