IA sering digambarkan sebagai kawasan paling sunyi dan sejuk di dunia.
Hampir 98 peratus permukaanya dilitupi ais tebal setinggi beribu meter yang menyimpan pelbagai rahsia bumi belum pernah diterokai manusia.
Suhu di beberapa kawasan di benua paling selatan ini boleh mencecah di bawah -80 darjah Celsius, sekali gus menjadikannya antara tempat paling ekstrem untuk didiami manusia.
Hari ini, Antartika bukan sekadar misteri saintifik, tetapi ia juga menjadi simbol amaran besar tentang perubahan iklim global.
Sejak beberapa dekad lalu, saintis mendapati ais di Antartika mencair pada kadar lebih cepat.
Glasier gergasi mula retak dan runtuh ke laut akibat peningkatan suhu global.

Ais laut di Antartika juga mula menyusut secara mendadak pada 2015 selepas bertahan daripada kesan pemanasan global selama beberapa dekad. – Foto Agensi
Fenomena tersebut sangat membimbangkan kerana Antartika menyimpan hampir 70 peratus air tawar dunia dalam bentuk ais.
Jika pencairan itu terus berlaku, paras laut global boleh meningkat secara drastik dan menenggelamkan banyak kawasan pesisir di seluruh dunia.
Antara hamparan ais yang menjadi perhatian para saintis ialah Glasier Thwaites digelar ‘Glasier Hari Kiamat’ kerana saiznya sangat besar dan keruntuhannya dijangka berlaku pada tahun ini.
Jika ia runtuh sepenuhnya, paras laut dunia boleh meningkat sehingga 65 sentimeter dan menyebabkan kawasan pesisir ditenggelami air.
Kenaikan paras laut itu sudah pun mengancam penduduk di bandar-bandar besar di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.
Ais laut di Antartika juga mula menyusut secara mendadak pada 2015 selepas bertahan daripada kesan pemanasan global selama beberapa dekad dan kini para penyelidik akhirnya mengetahui puncanya.
Satu kajian yang diterbitkan pada 8 Mei menerusi jurnal Science Advances mendedahkan bahawa ais laut itu terjejas akibat tiupan angin kuat mengganggu lapisan air di Lautan Selatan.
Keadaan itu menyebabkan air permukaan sejuk dan kurang masin digantikan dengan air yang lebih panas serta lebih masin lalu mencetuskan pencairan awal ais.
Apabila ais laut semakin berkurang dari tahun ke tahun, semakin sedikit cahaya matahari dipantulkan kembali ke angkasa.
Sebaliknya, lautan menyerap lebih banyak haba, sekali gus mempercepatkan lagi kehilangan ais melebihi jangkaan saintis.
Kajian tersebut mengenal pasti tiga fasa kemerosotan ais laut Antartika antara tahun 2013 hingga 2023.
Data sebelum ini menunjukkan keluasan ais laut mencapai paras terendah dalam rekod pada Februari 2023.
Pada kemuncak musim sejuk Julai tahun yang sama, Antartika kehilangan kawasan ais lebih besar daripada saiz Eropah Barat.
Sejak itu, keadaan dikatakan masih belum pulih. Keluasan ais laut sekali lagi menghampiri paras rekod terendah pada 2024 dan kekal di bawah purata 1981 hingga 2010 untuk catatan sepanjang 2025 dan awal 2026.
Pencairan glasier memberi impak besar. Cuaca tidak menentu seperti hujan lebat, kemarau dan suhu panas melampau berlaku lebih kerap.
Selain itu, haiwan seperti penguin kehilangan habitat semula jadi mereka.
Pencairan glasier boleh menjejaskan bekalan air bersih di sesetengah negara yang bergantung pada sumber air dari ais dan salji gunung.
Jika keadaan ini berterusan, ia menjadi amaran bahawa ekosistem dunia sedang berada di ambang bahaya.



