mohamadridzuan@hmetro.com.my
PEMINAT setia Anna Jobling pasti gembira apabila pelakon pujaan mereka bakal tampil dalam projek terbaru TV3 berjudul Yes! Captain Zul Aaryan yang menggandingkannya dengan pelakon Jazmy Juma.
Drama menarik adaptasi novel popular karya Wnfhanna arahan Nizam Zakaria ini dihasilkan sebanyak 30 episod.
Naskhah terbabit sebelum ini mencetus fenomena di Wattpad dengan lebih 1.3 juta bacaan sebelum diterbitkan secara fizikal.
Ia juga antara karya Melayu paling laris dengan jualan mencecah 35,000 naskhah selain pernah menduduki carta No 1 Mutiara Minda 2026 dan konsisten berada dalam kelompok Top 10 MPH.
Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 26, melakonkan watak Zara Andrea iaitu seorang wanita yang mempunyai pakej sempurna iaitu cantik, bijak, berani, tegas, manja dan penyayang.
Dilihat dari gandingannya dengan Jazmy serta kekuatan naskhah ini, ia boleh dikatakan bakal menjadi pilihan tontonan apabila ditayangkan pada Julai depan.
Bagaimanapun Anna berkata, dia tidak pernah meletakkan harapan terhadap setiap drama lakonannya kerana bimbang akan berlaku cerita sebaliknya pula.
“Sebabnya bagi saya, kalau saya letakkan harapan tinggi, sekiranya ia gagal capai apa yang saya nak itu, saya akan rasa sedih atau kecewa.
“Tapi kalau saya letak harapan biasa saja dan lebih daripada apa yang saya jangka, saya akan rasa gembira. Namun dalam semua drama, filem atau apa pun saya buat, dan doa yang terbaiklah.
“Sebenarnya untuk tahun ini saya belum terbabit dengan mana-mana penggambaran kerana berehat untuk beberapa ketika sebelum masuk set drama ini pada Oktober lalu,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia konsisten berlakon ‘back to back’ termasuk di negara jiran, Indonesia dan suatu ketika mengambil pendekatan untuk berehat seketika daripada aktiviti lakonan kerana kepenatan.
“Tapi berehat yang dimaksudkan bukan untuk bercuti makan angin. Ada sahaja kerja lain, cuma nak masuk set shooting drama yang lama, banyak episod saya ambil keputusan tunggu dulu.
“Bagaimanapun apabila tawaran drama ini datang, saya terus setuju kerana sudah lama tak berlakon drama genre ‘romantic comedy’ dan saya suka kerana ia menceriakan.
“Selain itu saya mungkin juga sudah terbiasa dengan genre ini. Sebenarnya saya tak banyak sangat berlakon drama komedi romantik tapi saya sukakan genre ini.
“Sebelum ini saya ada buat beberapa drama sama, tapi sudah lama tak buat kerana asyik berlakon drama heavy dan genre seram. Jadi saya perlu buat sesuatu seperti drama ini,” katanya.
Pelakon Melur Untuk Firdaus ini berkata, dia tertarik dan memilih terbabit dalam drama Yes! Captain Zul Aaryan kerana tahu ‘fanbasenya’ sangat besar.
“Pada masa sama, saya sudah baca buku ini dan semasa membaca saya rasa macam “okey, wow.” Jadi saya faham kenapa buku ini sangat-sangat viral dan kenapa ada ramai peminat buku ini.
“Sebenarnya, projek lakonan saya dengan produksi Indonesia masih ada lagi. Tapi sebab drama ini 30 episod, jadi saya kena fokus dekat sinilah (Malaysia) kerana seriap hari saya perlu berada di set.
“Saya tak nak ulang-alik antara Malaysia-Indonesia sebab nak fokus pada drama ini dulu dan baru tengok macam mana? Di Indonesia masih ada filem dan drama bersiri akan keluar nanti,” katanya.
Diminta mengulas gandingannya dengan Jazmy, Anna berkata, dia terlebih dahulu mengenali karakter heronya itu untuk memudahkan kerjasama antara mereka bagi membangkitkan keserasian.
“Saya akan tengok apa drama dia buat sebelum ini dan nampaknya banyak yang sukses. Saya ada nampak klip lakonannya dekat media sosial.
“Itu sahajalah yang saya buat dan Alhamdulillah masa shooting kami dapat buat apa yang diinginkan oleh pengarah. Saya harap drama ini akan jadi pilihan peminat nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




