suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Tanjong Sepat: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, di sini, petang tadi, ditemui lemas kira-kira 300 meter dari pantai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Penguasa Kanan Bomba (PKB) II Mohamad Issmanto Md Pono berkata, operasi digerakkan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.18 petang.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang kemudian tiba di lokasi sebelum operasi pencarian dijalankan dengan bantuan unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan bot di kawasan perairan berhampiran.
“Pencarian turut melibatkan beberapa unit PPDA dari balai berbeza bagi memperluaskan kawasan pencarian di laut.
“Mangsa Mohd Akhil Zamani Sanusi, 17, berjaya ditemukan pada jam 6.50 petang oleh unit PPDA pada jarak kira-kira 300 meter dari pantai dan 10 meter dari lokasi lemas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR turut membabitkan kekuatan 15 anggota JBPM bersama pelbagai jentera dan bot penyelamat dengan bantuan beberapa agensi keselamatan lain di lokasi kejadian,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, mangsa dilaporkan sedang mandi bersama rakan-rakannya sebelum dipercayai lemas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




