Kekangan masa, D' Boy Hamdan lepaskan teater muzikal PGL

Kekangan masa, D' Boy Hamdan lepaskan teater muzikal PGL

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon D’ Boy Hamdan, 45, akur terpaksa menarik diri daripada terbabit dalam produksi teater muzikal ikonik, Puteri Gunung Ledang (PGL) kerana tidak dapat memberikan komitmen penuh.

D’ Boy atau nama sebenarnya Mohd Fauzuly Hamdan Tahir berkata, dia bukanlah asing dengan Enfiniti Production kerana pernah terbabit dalam banyak pementasan bersama mereka.

“Saya pernah terbabit dalam teater P Ramlee The Musical musim pertama hingga ketiga, PGL musim ketiga dan Ola Bola The Musical musim pertama dan kedua.

“Ada ketika saya berlakon dan ada kalanya saya terbabit sebagai kru produksi. Hubungan saya dengan Puan Sri Tiara Jacquelina sangat rapat, malah bekerjasama dengannya sejak kerjaya saya kosong lagi.

“Untuk kali ini pun, beliau ada menawarkan peluang kepada saya, namun terpaksa ditolak kerana jadual saya yang padat. Saya akan terbabit dalam sebuah filem yang perlu dirahsiakan judulnya buat masa ini,” katanya.

D’ Boy yang dikenali menerusi drama Aku Posmen berkata, dia mengakui agak sukar untuk membahagikan masa antara pementasan teater dan filem sekali gus terpaksa memilih untuk fokus kepada filem berkenaan.

“Komitmen untuk teater sememangnya berat. Pada masa sama, saya juga sudah bersetuju untuk membintangi filem menarik ini, jadi saya kena melepaskan PGL.

“Jika diikutkan, saya pun hadir ke sesi mesyuarat untuk pementasan teater ini dan akhirnya terpaksa menarik diri secara profesional. Apa pun saya percaya PGL akan sukses seperti musim terdahulu,” katanya.

Karier D’ Boy bermula sebagai pembantu kepada pengarah untuk pementasan P Ramlee The Musical sebelum berkembang sebagai pengurus pentas di beberapa pementasan teater muzikal di Istana Budaya.

D’ Boy adalah lulusan Diploma Seni Persembahan Teater (Pengarahan) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top