Spa-Francorchamps: Kimi Antonelli mengukuhkan cengkaman di puncak kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini selepas muncul juara Grand Prix (GP) Belgium, hari ini, sekali gus memanfaatkan kegagalan rakan sepasukan Mercedes, George Russell menamatkan perlumbaan.
Pelumba Itali berusia 19 tahun itu mencatat kemenangan keenam daripada 10 perlumbaan musim ini selepas menamatkan saingan 44 pusingan di hadapan Charles Leclerc dari Ferrari, manakala Max Verstappen menghadiahkan podium ke-300 F1 buat Red Bull apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Russell yang memulakan perlumbaan sebagai pencabar terdekat Antonelli tersingkir seawal pusingan pertama selepas terbabas ke kawasan kerikil susulan pelanggaran dengan Lewis Hamilton ketika cuba memintas beberapa pelumba.
Hamilton pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat biarpun dikenakan penalti lima saat susulan insiden berkenaan, namun pelumba Ferrari itu masih disiasat atas dakwaan pelepasan tidak selamat ketika hentian pit yang boleh menyebabkannya hilang satu lagi kedudukan.
Kemenangan itu membolehkan Antonelli melebarkan jurang pendahuluan kejuaraan kepada 45 mata mengatasi Hamilton, manakala kelebihan ke atas Russell kini meningkat kepada 50 mata.
“Saya gembira dapat kembali ke puncak selepas beberapa perlumbaan yang sukar.
“Perlumbaan ini memang sengit. Kami kehilangan kedudukan pendahulu ketika tempoh Virtual Safety Car, tetapi berjaya merampasnya semula.
“Momentum kami sentiasa ada. Apa yang penting adalah menukar prestasi itu kepada keputusan. Hari ini kami sedikit bernasib baik dari sudut perebutan kejuaraan, tetapi dalam F1 anda perlu memanfaatkan setiap peluang kerana keadaan boleh berubah dengan pantas,” katanya.
Oscar Piastri dari McLaren menamatkan perlumbaan di tempat kelima, diikuti Isack Hadjar dari Red Bull di tempat keenam selepas memulakan perlumbaan dari petak terakhir.
Juara dunia, Lando Norris pula sekadar menduduki tempat ketujuh selepas bermula di petak ke-13 akibat penalti penurunan 10 petak.
Gabriel Bortoleto menghadiahkan mata buat Audi di tempat kelapan, diikuti Arvid Lindblad (Racing Bulls) dan Franco Colapinto (Alpine) yang melengkapkan kelompok 10 terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




