PRN N9: Soal pelantikan, kedudukan menteri hak mutlak Perdana Menteri

PRN N9: Soal pelantikan, kedudukan menteri hak mutlak Perdana Menteri

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan soal pelantikan dan kedudukan seseorang menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.

Ia susulan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bersedia melepaskan jawatan sekiranya diminta berbuat demikian.

“Saya percaya seperti yang saya katakan, soal pelantikan menteri semuanya adalah budi bicara Perdana Menteri.

“Kalau orang dah tak suka, buat apa nak tunggu?” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad dilaporkan berkata beliau bersedia melepaskan jawatan sekiranya diarahkan Perdana Menteri.

Kenyataan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Anwar dilaporkan berkata mana-mana pihak yang gagal mematuhi peringatan itu boleh diminta berundur daripada jawatan disandang.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata kempen PRN Negeri Sembilan seharusnya memberi tumpuan kepada isu berkaitan pembangunan negeri dan bukannya dijadikan medan serangan antara parti.

“Ini pilihan raya peringkat negeri, jadi sewajarnya perkara yang dibincangkan adalah berkaitan negeri dan hala tuju negeri.

“Seperti yang ditekankan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, kempen perlu dijalankan secara berhemah dan tidak menggunakan pendekatan yang boleh menyakitkan hati atau memburukkan pihak lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top