Anugerah Khas Karviter untuk Fauziah Nawi

Anugerah Khas Karviter untuk Fauziah Nawi

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Fauziah Nawi, 71, dianugerahkan Anugerah Khas Karviter di Malam Anugerah Karnival Teater Universiti Malaya (Karviter24) yang berlangsung di Universiti Malaya (UM), di sini, malam tadi.

Fauziah meluahkan rasa syukur atas penganugerah yang diberikan atas kecemerlangan dan ketokohannya dalam bidang seni dan teater.

“Setiap kali orang bagi hadiah (anugerah) utama ini, saya tak tahu nak cakap apa sebab saya tak pernah fikir pun mengenai ini.

“Tapi, saya seronok balik ke sini kerana semasa berusia belasan tahun selepas tamat sekolah, saya bekerja sebagai tukang angkat fail di Jabatan Bendahari di UM ini.

“Kita tak tahu, orang tengok. Macam cikgu-cikgu saya cakap, kita buat saja. Kalau orang nampak, Alhamdulillah. Tak pernah rasa untuk dapatkan apa-apa,” katanya.

Menurut Fauziah, ilmu dan sijil pencapaian di tahap apa pun amat penting, bukan saja dalam bidang teater, tapi dalam apa juga bidang sekalipun.

“Bukan sahaja teater, tapi bidang apa pun kena buat betul-betul dan jadi cemerlang.

“Ilmu dan kertas (sijil) pencapaian itu penting. Nak buat apa pun kena ada kertas-kertas ini. Jangan jadi macam saya, dah tua-tua baru nak belajar. Terseksa,” katanya.

Karviter24 adalah pertandingan teater tahunan di UM yang membabitkan kolej-kolej kediaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top