KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada DAP Melaka berhubung keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu akan disusuli dalam masa terdekat bersama kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
“Itu mereka akan buat tindakan susulan tidak lama lagi.
“Belum, belum (berbincang). Saya pagi tadi di Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis A Celebration of Life and Peace anjuran ERM Foundation di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan pada Selasa.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.
Menurutnya, semua wakil rakyat DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri akan melepaskan jawatan masing-masing, termasuk seorang Exco, dua Timbalan Exco serta Timbalan Speaker DUN.
Rentetan itu, Anwar ketika ditemui selepas merasmikan Pelabuhan Midport – Pelabuhan Kontena Pintar berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) di Port Dickson pada Selasa, memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberikan tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.



