am@hmetro.com.my
Georgetown: Rasa tidak puas hati terhadap urusan pemeriksaan oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjadi punca seorang individu mengugut mahu menembak anggota penguat kuasa terbabit ketika bertugas di Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata berdasarkan semakan awal, kejadian itu tercetus selepas suspek didakwa kurang memberikan kerjasama kepada pegawai bertugas pada peringkat awal pemeriksaan.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, pegawai AKPS terbabit hanya menjalankan tanggungjawab mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum berlaku sedikit salah faham dengan suspek.
“Apa yang saya boleh ulas adalah kejadian berlaku apabila suspek tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan apabila kita semak, apa yang berlaku ialah pengadu itu sendiri yang agak kurang memberi kerjasama pada peringkat awal.
“Pegawai kita hanya meneruskan kerja dan berlaku sedikit salah faham di situ,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, tadi.
Kelmarin, media melaporkan AKPS membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu dipercayai ejen yang membuat ugutan bunuh terhadap pegawai penguat kuasanya.
Mohd Shuhaily berkata, suspek kemudian bertindak mengeluarkan ugutan secara terbuka terhadap pegawai berkenaan dan insiden itu turut didengari oleh beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.
Beliau berkata, susulan insiden berkenaan, pihaknya segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil terhadap suspek.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan susulan memandangkan kes berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita telah membuat laporan polis dan seterusnya menyerahkan kepada PDRM untuk siasatan dengan adanya proses pengecaman, mungkin tangkapan akan dibuat oleh pihak polis dalam masa terdekat tetapi saya tidak boleh mengulas tindakan PDRM,” katanya.
Ditanya mengenai keperluan mendesak untuk mempercepatkan perolehan senjata api kepada pegawai AKPS susulan insiden ugutan berbahaya seumpama itu, Mohd Shuhaily mengakui perkara tersebut amat wajar.
“Sepatutnya begitu (dipercepatkan) dan saya rasa pihak Kementerian sedang berusaha untuk melaksanakan perolehan (senjata api) tersebut. Itu sahaja yang terbaik untuk saya komen buat masa ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




