Anwar berbelah bagi mahu sokong United atau Asean All-Star

Anwar berbelah bagi mahu sokong United atau Asean All-Star

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui berbelah bagi dan tidak tahu mahu menyokong pasukan mana sama ada Manchester United ataupun Asean All-Star.

Perkara itu dikongsikan Anwar di laman sosialnya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada dan pengendali skuad Red Devils, Ruben Amorim, hari ini.

Untuk rekod, Manchester United dijadual berdepan Asean All-Star dalam satu aksi persahabatan antarabangsa merebut Piala Cabaran Maybank yang akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

“Saya ucapkan selamat berentap buat kedua-dua pasukan yang akan beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Saya masih berfikir nak sokong siapa malam esok,” kata Anwar.

Terdahulu, Amorim dalam satu sidang media pra perlawanan akui tidak akan memberi laluan mudah buat pasukan Asean All-Star.

Skuad The Red Devils membawa barisan utama ke Malaysia yang diketuai ketua pasukan, Bruno Fernandes diikuti tonggak lain antaranya penjaga gol, Andre Onana; pemain tengah kebangsaan Brazil, Casemiro; penyerang muda, Rasmus Hojlund dan tonggak pertahanan kental, Diogo Dalot.

Kali terakhir kelab itu beraksi di Malaysia ketika siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali, iaitu masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top