am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli adalah yang terbaik untuk menerajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) seterusnya berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU).
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata posisi Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR, perlu dikekalkan demi mengukuhkan parti sedia ada
“Saya kenal kedua-dua calon timbalan presiden dalam Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028 iaitu Rafizi dan Nurul Izzah Anwar, namun kita semua tahu bahawa Rafizi mempunyai rekod terbaik sepanjang memimpin PKR selama ini.
“Gandingan sedia ada antara Rafizi dan Anwar yang juga Presiden PKR adalah yang terbaik untuk terus mengekalkan parti ini sebagai sebuah parti yang diyakini rakyat.
“Malah sebelum ini, Rafizi berjaya mendapatkan 30 kerusi di parlimen. Tugas untuk memenangi PRU bukan sesuatu yang mudah, kita perlukan calon yang terbaik untuk berhadapan dengan pembangkang dan saya percaya beliau adalah yang terbaik.,” katanya .
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan di Tanjung Chat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tambahnya, di Kelantan juga perlukan misi yang khusus dan berharap supaya setiap akar umbi di sini memilih calon terbaik untuk memantapkan lagi jentera PKR pada PRU akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




