
Fahmi (kiri) ketika sidang akhbar di Persada Johor pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Ceramah umum dan rapat umum akan diadakan selepas Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada petang Ahad.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyertai ceramah tersebut.
Jelas beliau, program berkenaan akan diadakan selepas selesai Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
“Selepas acara utama selesai, Konvensyen Pakatan Harapan akan mengadakan satu rapat umum dan ceramah perdana di DUN Puteri Wangsa.
“Anwar Ibrahim dijangka turut bersama untuk menyampaikan ucapan dalam program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menjangkakan kehadiran orang ramai pada program berkenaan berlangsung dalam jumlah yang besar.
Kerusi DUN Puteri Wangsa (N41) kini disandang oleh Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz.
Beliau memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dalam saingan enam penjuru dengan memperoleh 22,884 undi.



