JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak terperangkap dengan dakyah ketuanan Melayu dan ketaksuban agama yang terus dimainkan pihak tertentu demi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, naratif bersifat perkauman lampau itu sengaja dicetuskan untuk meraih sokongan politik, sedangkan sejarah membuktikan golongan tersebut sering menyalahgunakan kuasa untuk mengaut kekayaan peribadi dan kroni.
“Adakah kita pasti bahawa mereka benar-benar prihatin tentang kaum mereka? Adakah kita pasti mereka yang diberi kuasa untuk memimpin dan mentadbir negara ini selama lebih daripada enam dekad benar-benar mengambil berat tentang komuniti mereka?.
“Mereka yang melaungkan ketuanan Melayu misalnya, lihatlah pemimpin mereka dahulu dan sekarang. Semakin kuat suara mereka melaungkan ketuanan Melayu, semakin kaya-raya mereka sehingga ada yang menjadi jutawan.
“Namun, apabila mereka berbicara tentang kelangsungan dan ketuanan Melayu, hakikatnya mereka secara senyap merompak hasil negara, termasuk meminggirkan orang Melayu yang miskin.
“Saya tidak percaya dengan retorik politik berdekad-dekad mereka mengenai ketuanan Melayu, sebab itu saya mengambil pendirian untuk terus melawan perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-tea Pemimpin Kristian Johor Bersama Perdana Menteri di Hotel New York, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia hanya mampu merealisasikan potensi ekonomi sebenar sekiranya rakyat terus mempertahankan kestabilan dan kebersamaan dalam kepelbagaian.
Beliau berkata, biarpun Islam merupakan agama majoriti, kestabilan Malaysia dibina atas ikrar yang jelas untuk maju bersama sebagai sebuah kesatuan yang merangkumi semua kaum dan agama.
“Meskipun negara berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada inisiatif besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga, arus pembangunan tersebut mestilah berpaksikan kepada nilai moral yang kukuh,” katanya.
Anwar menambah, kepelbagaian bangsa dan budaya adalah untuk dirai dan saling menghormati, dengan setiap komuniti bebas untuk berbangga dengan bahasa, budaya serta kepercayaan masing-masing.
“Kita dilahirkan dengan kaum yang berbeza. Saya bangga dilahirkan sebagai orang Melayu, mempelajari bahasa dan tamadunnya. Namun, mengapa individu yang lahir sebagai India, Cina, Kadazan atau Iban tidak boleh berbangga dengan budaya dan kepercayaan mereka? Di sinilah pentingnya prinsip nilai kemanusiaan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru para pemimpin masyarakat dan agama untuk memainkan peranan aktif dalam menyebarkan maklumat yang sahih bagi membendung kejahilan moral serta dakyah kebencian dalam masyarakat.-UTUSAN




