KOTA KINABALU – Perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dijadikan sebagai naratif nasional dan bukan lagi dilihat sebagai isu yang hanya melibatkan Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting kerana pelaksanaan perkara berkaitan MA63 merupakan komitmen negara yang perlu difahami seluruh rakyat Malaysia.
Menurutnya, perbincangan mengenai MA63 tidak seharusnya bersifat sektoral sehingga perkara berkaitan Sabah dan Sarawak perlu dibincangkan secara berasingan setiap tahun.
“Saya sudah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. ini sangat penting, sebab kalau tidak, ia jadi macam sektoral, tiap tahun kita kena bincang khas Sabah-Sarawak.
“Ini adalah komitmen nasional. Tentang pembangunan, tentang kestabilan, tentang apa yang kita janji kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963. Itu harus dimeterai sebagai sebuah naratif nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar berkata, rakyat Malaysia perlu diajak untuk melihat perkara berkenaan melangkaui kepentingan kaum, parti atau kelompok tertentu, sebaliknya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan negara.
“Kita kena ajak rakyat Malaysia ini tidak bicara soal kaum parti atau kelompok dia sahaja, tetapi bicara sebagai satu wacana untuk memberikan keutuhan kepada negara.
“Jadi saya sangat hargai sidang ini, kita jelaskan betul-betul, ini adalah komitmen nasional, dasar nasional,” katanya.
Menurut Anwar, pendekatan sama perlu digunakan dalam memahami pertimbangan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak termasuk berkaitan peningkatan peruntukan atau perkara di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, rakyat di Semenanjung tidak seharusnya melihat langkah sedemikian sebagai satu bentuk pertimbangan khas yang hanya diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
“Bila kita tambah umpamanya peruntukan ataupun 112D ini kepada Sarawak dan Sabah, umpamanya Sabah dalam konteks ini, di Semenanjung jangan difikirkan ini satu pertimbangan khas kepada Sarawak. Tidak.
“Jadi naratif ini saya harap kawan-kawan di Semenanjung pun terima dan Sabah-Sarawak pun terima. ‘National policy, national commitment and national narrative’,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari turut menyokong pendekatan Anwar bahawa MA63 perlu dilihat sebagai perkara nasional.
Menurutnya, pendekatan itu dapat menyelaraskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dengan keutuhan Malaysia serta pembangunan negara secara keseluruhan.
“Saya menyokong pendekatan Perdana Menteri bahawa perkara MA63 ini adalah perkara nasional.
“Kita nak menyelaraskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia sebagai ‘a United Malaysia’ yang akan meneruskan usaha kita untuk membangunkan negara pada keseluruhannya,” katanya.
Abang Johari menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai praktikal dalam memastikan pelaksanaan perkara berkaitan MA63 bergerak seiring dengan kepentingan Malaysia secara keseluruhannya.
