SHAH ALAM- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya nada ucapannya sebelum ini kedengaran agak tegas dan beremosi ketika bertemu penjawat awam.
Beliau berkata, ramai pihak sering mengingatkannya supaya sentiasa bercakap dengan tenang, berhemah dan menyantuni rakyat memandangkan beliau kini memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Saudara-saudara saya mohon maaf kalau tadi nada tinggi sikit. Kadang-kadang bila menyentuh hati nurani dan perasaan saya perlu bersuara.
“Banyak orang pesan kepada saya, Anwar awak dah Pendana Menteri, tak boleh tinggikan suara kena cakap tenang, baik dan menyantuni rakyat. saya mohon maaf kalau ada orang kata itu bukan sepatutnya wajah seorang Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Santai Mesra Perdana Menteri dengan warga perkhidmatan awam Zon Tengah.
Tambah Anwar, beliau tidak berniat untuk beremosi sebaliknya hanya meluahkan perkara yang dirasai.
“Saya tidak tahu wajah seorang Pendana Menteri mesti sentiasa tenang. Jadi kalau saya ada kesilapan saya mohon maaf, tapi percayalah saya luahkan apa yang saya rasa.
“Kepada siapa lagi, saya nak luahkan kalau tidak kepada anak-anak buah saya, jentera yang boleh menjayakan program negara kita,” ujarnya.



