Anwar sangkal dakwaan pelaburan berbilion ringgit tidak berhasil

Anwar sangkal dakwaan pelaburan berbilion ringgit tidak berhasil

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaburan dalam sektor pembuatan terus membawa impak positif kepada ekonomi negara dengan manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat menerusi peningkatan peluang pekerjaan, kadar gaji dan nilai tambah industri.

Justeru, kata beliau, dakwaan oleh sesetengah pihak kononnya pelaburan berbilion ringgit tidak membawa sebarang hasil adalah tidak berasas.

Anwar berkata sebanyak 3,494 projek pelaburan sektor pembuatan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2021 hingga Jun 2025, dengan 3,095 projek atau 86.4 peratus daripadanya telah direalisasikan dan kini beroperasi.

Menurut beliau, secara keseluruhan angka tahunan pelaksanaan projek diluluskan itu merekodkan 90.6 peratus pada 2023 dan 79.2 peratus pada 2024, manakala bagi suku pertama 2025, ia mencatatkan kadar 49.8 peratus.

“Mereka kata pelaburan berbilion-bilion, mana dia (hasilnya), tak ada apa pun. (Hakikatnya) dah operasi 86 peratus (daripada projek yang diluluskan).

“Jadi, saya ada maklumkan kepada Menteri Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) untuk terus memaparkan (data terlibat) dan kilang di mana (projek berjalan) di Kulim, Johor, Sarawak, Sabah dan Lembah Klang,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Anwar berkata kebanyakan projek yang direalisasikan melibatkan sektor pembuatan dengan tumpuan kepada bidang digital dan hijau.

Beliau berkata pelaksanaan projek ini berjaya mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan bagi suku pertama 2025.

Dalam tempoh sama, gaji median sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM2,745 berbanding RM2,600 pada tahun lalu, sejajar dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.

Perdana Menteri turut memaklumkan sejak penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) pada Disember 2023, sebanyak 28,166 permohonan pelabur telah dipermudahkan dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus.

Permohonan itu melibatkan pelbagai urusan termasuk kelulusan, permit, kuota pekerja asing, utiliti dan percukaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top