mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti suspek lain yang terbabit sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima negeri.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sindiket itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian cukai eksport lebih RM950 juta, sejak enam tahun lalu.
Katanya, SPRM turut meneliti sumber kewangan suspek serta syarikat yang disiasat menerusi kerjasama dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain siasatan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram oleh SPRM.
“Siasatan juga dilakukan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 selain Akta Kastam 1967 oleh agensi yang terbabit dalam operasi ini,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dirakam percakapan sekali lagi hari ini bagi membantu siasatan.
“Setakat ini seramai 27 orang saksi sudah dirakam bagi membantu siasatan.
“Seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan ini juga sudah dirakam percakapan dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Sumber berkata, sehingga kini, SPRM sudah membekukan sebanyak 324 akaun perbankan iaitu 142 milik syarikat serta 182 milik individu bernilai hampir RM150 juta dengan nilai sitaan kira-kira RM183 juta.
“Secara keseluruhannya, nilai sitaan aset dan pembekuan akaun kini adalah sebanyak lebih RM332 juta,” katanya.
Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.
Malah ahli perniagaan bergelar Datuk Seri terbabit antara individu disiasat SPRM kerana terbabit seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.
Kegiatannya terbongkar selepas SPRM menyerbu lima negeri terbabit sindiket penyeludupan besi buruk yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

