Anwar zahir dukacita nahas pesawat Air India

Anwar zahir dukacita nahas pesawat Air India

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita mendalam susulan nahas tragis pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad, India, petang tadi.

Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, beliau merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga serta insan tersayang mangsa yang terbabit.

“Saya amat dukacita apabila menerima berita mengenai nahas tragis pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad, India.

“Kami turut bersedih atas kehilangan yang dialami oleh India dan menyatakan solidariti penuh ketika usaha bantuan sedang dijalankan.

“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mangsa serta semua yang sedang meratapi kehilangan ini,” katanya menurut hantaran itu.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah pesawat Air India dilapor terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di negeri barat India, Gujarat hari ini, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pengesahan daripada pihak polis.

Nahas di kawasan Meghaninagar, menurut laporan Press Trust of India yang memetik pihak berkuasa tempatan.

Beberapa ambulans telah dikejarkan ke lokasi kejadian, dan pasukan kecemasan kini sedang menjalankan operasi menyelamat.

Walaupun beberapa media melaporkan kemungkinan terdapat penumpang di dalam pesawat, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah individu dalam pesawat mahupun sebarang kemalangan jiwa.

Memetik laporan NDTV, pesawat berlepas sekitar 1.17 tengah hari, hari ini.

Portal India Today yang memetik sumber, melaporkan bekas Ketua Menteri Gujarat Vijay Rupani dipercayai berada dalam pesawat itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top