BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Sabtu menggesa Amerika Syarikat (AS) terus menyokong negaranya susulan pemeteraian rangka kerja perjanjian yang disokong Washington dengan Israel.Perjanjian itu bertujuan menamatkan permusuhan secara kekal antara rejim Zionis dan Hizbullah.
Perjanjian yang dimeterai di Washington itu menggariskan pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan dan penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan, bermula dengan dua kawasan perintis.
Bagaimanapun, Hizbullah menolak perjanjian itu kerana ia tidak menetapkan sebarang garis masa bagi pengunduran tentera Israel.
Dalam perutusan tahniah kepada Presiden AS, Donald Trump sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu, Aoun menggesa Washington agar terus berdiri bersama hak dan perjuangan yang adil bagi Lubnan, institusi-institusi, angkatan tentera serta rakyatnya.
Aoun turut menyuarakan harapan agar Lubnan dapat menutup lembaran peperangan dan membuka lembaran baharu yang dipenuhi harapan, keamanan serta kestabilan.
Dalam mesej sempena sambutan tersebut, Kedutaan AS di Lubnan menerusi platform X menyatakan harapan serupa.
“Pihak kami berbangga dapat berdiri bersama rakyat Lubnan ketika mereka membina masa depan yang lebih cerah, berteraskan keamanan, kemakmuran dan harapan yang sekian lama dinantikan.,” katanya.
Lubnan mula terheret ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac selepas Hizbullah melancarkan peluru berpandu menyasarkan kedudukan rejim Zionis sebagai tindak balas terhadap serangan Israel-AS di Iran yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Israel kemudian membalas dengan melancarkan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat ke selatan Lubnan, yang sehingga kini menyaksikan tenteranya masih menguasai beberapa kawasan berhampiran sempadan.
Perjanjian yang ditandatangani Teheran dan Washington bulan lalu bagi menamatkan perang serantau itu turut mewujudkan gencatan senjata di Lubnan yang berkuat kuasa pada 21 Jun. – AGENSI




