'Mereka juga berdepan trauma sosial kerana takut dipandang hina'

'Mereka juga berdepan trauma sosial kerana takut dipandang hina'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Remaja yang hamil luar nikah berisiko mengalami kesan psikologi termasuk kemurungan, Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) dan pengasingan sosial.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Pau Kee berkata, remaja yang hamil luar nikah bukan sahaja berdepan perubahan fizikal, malah mengalami krisis identiti kerana terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu ketika masih berada dalam fasa pembentukan identiti diri.

Beliau berkata, konflik perkembangan itu boleh menyebabkan tekanan psikologi yang mendalam, selain berisiko kehilangan peluang pendidikan, hubungan dengan keluarga, penerimaan sosial dan impian masa depan dalam tempoh yang singkat.

“Fenomena ini dikenali sebagai ‘cumulative loss’ iaitu pelbagai kehilangan yang berlaku dalam satu tempoh sehingga kapasiti penyesuaian individu menjadi terlalu terbeban.

“Akibatnya, remaja berisiko mengalami simptom kemurungan dan PTSD, terutama jika kehamilan berlaku akibat penderaan atau eksploitasi seksual serta tidak mendapat sokongan keluarga.

“Mereka juga berdepan trauma sosial kerana takut dipandang hina, dihukum atau dipulaukan sehingga menjejaskan kesihatan mental,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, bahawa isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja memerlukan perhatian serius berikutan implikasinya terhadap masa depan golongan itu, institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Nancy dilaporkan berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 21,114 remaja berusia bawah 19 tahun hamil dan tidak berkahwin direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2024.

Mengulas lanjut, Pau berkata, stigma masyarakat yang berterusan boleh menyebabkan remaja mempercayai label negatif terhadap diri sendiri sehingga hilang penghargaan dan keyakinan diri, sekali gus mendorong kepada pengasingan sosial serta perasaan putus asa.

“Tekanan psikologi yang berpanjangan turut menjejaskan keupayaan remaja berfikir secara rasional sehingga mendorong mereka membuat keputusan berisiko seperti berhenti sekolah, lari dari rumah, menyembunyikan kandungan, menggugurkan kandungan secara tidak selamat atau meninggalkan bayi selepas dilahirkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja bukan berpunca daripada satu faktor semata-mata, sebaliknya hasil gabungan faktor individu, keluarga, rakan sebaya, media sosial dan persekitaran.

Katanya, institusi keluarga yang semakin lemah serta ibu bapa yang terlalu sibuk turut menyumbang kepada jurang komunikasi dengan anak-anak, manakala media sosial kini menjadi ejen sosialisasi utama yang membentuk identiti, nilai dan tingkah laku remaja.

“Remaja terdedah kepada kandungan hubungan romantik yang terlalu intim, pornografi, budaya ‘hook-up’ dan pengaruh gaya hidup bebas yang akhirnya menormalisasikan tingkah laku seksual berisiko.

“Algoritma media sosial yang memaparkan kandungan sama secara berulang turut mengukuhkan pendedahan kepada kandungan tidak sihat sehingga meningkatkan risiko remaja memulakan hubungan seksual pada usia muda,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan disaran melaksanakan program keibubapaan psikologi remaja, pendidikan hubungan dan seksualiti yang sihat, memperluaskan pendidikan digital berkaitan manipulasi hubungan serta eksploitasi seksual dalam talian.

Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan pusat intervensi dan kesejahteraan kesihatan mental remaja di setiap daerah supaya golongan itu mempunyai ruang mendapatkan bimbingan awal tanpa rasa takut dihukum atau dipandang serong.

“Kerjasama antara ibu bapa, sekolah dan komuniti penting bagi membina daya tahan, kemahiran mengawal emosi serta membantu remaja membuat keputusan yang lebih rasional,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top